MELAKA, 10 Nov (Bernama) -- Jaguh beregu badminton lelaki negara Aaron Chia kini menumpukan sepenuh perhatian bagi persiapan menghadapi Sukan SEA di Thailand bulan depan selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Melaka pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka ke-39 Tahun 2023/2024 di sini hari ini.
Atlet kelahiran Batu Berendam berusia 28 tahun itu berkata beliau kini dalam tempoh persediaan bagi menghadapi temasya dwitahunan berkenaan dengan memfokuskan sepenuhnya latihan sepanjang bulan ini tanpa menyertai sebarang pertandingan, susulan jadual padat di Eropah bulan lepas.
“Anugerah ini sememangnya memberi semangat tambahan dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Melaka yang sentiasa memberikan sokongan. Fokus utama saya sekarang menumpukan latihan bagi menyumbangkan pingat untuk kontinjen negara di Sukan SEA Thailand,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, atlet berkenaan menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, dan membawa pulang trofi, piala pusingan serta wang tunai berjumlah RM3,000.
Aaron berkata beliau berkemungkinan bergandingan dengan pemain lain dalam acara beregu lelaki sebagai percubaan gandingan baharu, namun sebarang keputusan akan ditentukan oleh jurulatih.
Bagaimanapun, beliau yakin tidak menghadapi masalah sekiranya bergandingan dengan Man Wei Chong atau Tee Kai Wun, yang juga atlet kelahiran Melaka.
Selepas Sukan SEA, Aaron dan rakannya, Soh Woi Yik dijadualkan bergandingan semula untuk menghadapi Kejohanan Jelajah Dunia di Hangzhou, China, pada Disember depan.
Aaron meraih gelaran itu buat kali kedua berturut-turut selepas menampilkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa, termasuk memenangi pingat gangsa acara beregu lelaki pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, dan Sukan Olimpik 2024 di Paris, selain muncul naib juara Kejohanan Seluruh England 2024 di Birmingham.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial