SUKAN > BERITA

ISU PEMAIN WARISAN TIDAK GUGAT CKLAMOVSKI

10/11/2025 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Pengendali Harimau Malaya Peter Cklamovski kekal tenang dan meneruskan perancangannya menjelang perlawanan menentang Nepal dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 Nov ini, walaupun isu tujuh pemain warisan hangat diperkatakan.

Jurulatih dari Australia itu berkata beliau lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara yang boleh dikawal olehnya dan pemain, berbanding terganggu dengan spekulasi atau suara luar.

“Bagi saya, ia mudah. Ia bukan satu masalah kerana segala tumpuan adalah pada perkara yang boleh saya kawal, iaitu memastikan setiap hari berjalan dengan baik.

“Apa orang nak cakap atau fikirkan, ia diluar kawalan saya. Saya cuma berharap dapat membuat rakyat Malaysia berbangga dengan cara kita bermain, identiti bola sepak kita, keputusan diperoleh dan menamatkan kalendar antarabangsa 2025 tanpa kalah dengan bermain bola sepak yang baik, menjaringkan gol serta mengekalkan rekod bersih,”  katanya pada sidang media di sini hari ini.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan oleh Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CFH2,000 (sekitar RM11,000).

Ketujuh-tujuh pemain berkenaan turut digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak.

Dalam pada itu, Cklamovski mengakui turut terinspirasi dengan semangat dipamerkan barisan pemain yang tetap komited walaupun wujud ketidapastian mengenai kelayakan beberapa pemain warisan.

“Saya terinspirasi untuk bekerja setiap hari bersama pemain yang ada. Terdapat satu tenaga istimewa dalam kumpulan ini — disiplin, fokus dan profesional.

“Kita tidak boleh pandang remeh perkara ini. Kita perlu bekerja keras, kekal rendah diri dan terus membina bola sepak kita kerana kita bakal berdepan lawan sukar pada Selasa nanti,”  katanya.

Sementara itu, Cklamovski berkata kesemua pemain yang dipanggil ke kem kebangsaan dijangka melapor diri hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui terpaksa menggugurkan dua pemain iaiti Romel Morales dan Muhammad Afiq Fazail susulan kecederaan dan masalah peribadi.

“Kedua-duanya tidak dapat diturunkan kerana Morales mengalami sedikit kecederaan, manakala Jambu (Afiq) pula, disebabkan perkara berkaitan keluarga yang memerlukan dia berada di samping keluarga buat masa ini,” katanya.

Malaysia akan berdepan Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 18 Nov ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan