SUKAN > BERITA

LUQMAN HAKIM DIPANGGIL SEMULA SERTAI HARIMAU MALAYA, GANTI JORDAN MINTAH

11/11/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pemain penyerang Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin dipanggil semula menyertai kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi menentang Nepal pada perlawanan kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 Nov ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi pasukan kebangsaan Malaysia NT hari ini, bekas pemain muda sensasi negara itu akan mengisi kekosongan ditinggalkan pemain Kuching City FC Jordan Mintah.

“Luqman Hakim Shamsudin dipanggil menyertai kem latihan berpusat menggantikan Jordan Mintah yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan,” menurut hantaran ringkas itu.

Kali terakhir pemain berusia 23 tahun itu menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.

Skuad Harimau Malaya memulakan kem latihan pusat semalam hingga 17 Nov sebagai persediaan menghadapi Nepal pada aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Mac lepas.

Pasukan bimbingan Peter Cklamovski kini selesa mendahului kumpulan dengan rekod sempurna selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut, termasuk menewaskan pencabar terdekat Vietnam 4-0 pada Jun lepas.

Ketika ini, Malaysia kekal dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi bermula Januari 2027.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan