KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Tonggak pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar mengakui gembira dengan kehadiran penyerang Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin dalam kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi menentang Nepal pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, 18 Nov ini.
Pemain Selangor FC itu optimis kehadiran Luqman Hakim mampu memberi nilai tambah kepada pasukan bimbingan Peter Cklamovski sepanjang kem latihan pusat bermula 10 Nov lepas bagi perlawanan berkenaan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
“Sejujurnya, saya gembira Luqman Hakim kembali ke dalam pasukan kebangsaan dan harapnya dapat peluang (beraksi bersama Harimau Malaya). Saya percaya dia akan memberi yang terbaik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kali terakhir bekas pemain muda sensasi negara itu menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.
Harith Haiqal juga berkata beliau bersedia untuk beraksi sekiranya diberi peluang termasuk dengan Matthew Davies yang kembali disenaraikan selepas disisihkan akibat kecederaan sebelum ini.
Kali terakhir Davies beraksi untuk Harimau Malaya adalah ketika Malaysia membelasah Vietnam 4-0 pada aksi keempat Kelayakan Piala Asia 2027 Jun lepas.
Dalam pada itu, Harith Haiqal berkata kem latihan ketika ini berjalan lancar dan para pemain juga menampilkan komitmen baik bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang Nepal.
Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Mac lepas.
Ketika ini, Malaysia kekal dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi bermula Januari 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial