PULAU PANGKOR, 16 Nov (Bernama) -- Pasukan Hollywood Samurai dari Hong Kong muncul juara peringkat pertama perlumbaan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025 dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor di sini hari ini.
Pasukan Hollywood Samurai dikemudi oleh Raymond Roberts bersama 10 krunya, yang bersaing dalam kategori Kelas 1 mencatat masa 12 jam 59 minit dan 25 saat (s).
“Sebenarnya ini adalah perlumbaan yang sangat sukar untuk dimenangi. Belayar dari selatan ke utara Malaysia kita terpaksa menempuh banyak ribut petir terutama di sebelah malam.
“Jadi perlu sangat peka untuk memastikan kita mendapat kelebihan angin yang terbaik kerana angin sentiasa berubah sepanjang perlumbaan ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampian hadiah di sini hari ini.
Sementara itu, Aftershock dari Australia menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 13:03.00s manakala Windsikher dari Singapura di tempat ketiga dengan 13:54.11s.
Saingan Kelas 2 pula dimenangi pasukan Shahtoosh juga dari Hong Kong manakala pasukan Jolt dari Malaysia merangkul juara bagi Kelas 3 dan Kimikimi dari Poland menang Kelas 4.
Satu lagi pasukan Malaysia, Dash menjuarai Kelas 5.
RMSIR yang berlangsung selama sembilan hari dari 14 hingga 22 Nov ini, disertai 23 pasukan yang akan meneruskan perlumbaan ke Pulau Pinang sebelum dijadualkan tamat di Langkawi.
RMSIR tyang mula dianjurkan pada 1990 adalah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan merupakan idea cetusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, ketika baginda bergelar Raja Muda Selangor.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial