KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memulakan proses untuk membawa kes dokumentasi tujuh pemain warisan negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan kerajaan dan badan berkaitan.
“Persatuan Bolasepak Malaysia ingin memaklumkan bahawa kami telah menerima alasan penuh keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penolakan rayuan FAM berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan Malaysia.
“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook FAM, hari ini.
Menerusi alasan bertulis dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA hari ini, cubaan palsukan dokumen dengan tujuan memperdaya badan pentadbir dan memintas peraturan merupakan satu pelanggaran serius.
Menurut jawatankuasa itu, tindakan sedemikian menjejaskan kesaksamaan perlawanan, meruntuhkan keyakinan awam dan tidak boleh ditoleransi selain menjejaskan asas integriti bola sepak.
Selain mengekalkan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain terlibat, FIFA juga mengarahkan sekretariat segera memulakan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman badan memayungi sukan tersebut dalam negara.
Jawatankuasa Rayuan FIFA juga mendedahkan bahawa kesemua pemain warisan terlibat dilahirkan di luar negara.
Pemain warisan terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha yang dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, Facundo Garces (Santa Fe, Argentina), Rodrigo Holgado (Buenos Aires, Argentina), Imanol Manchuca (Rosario, Argentina), Joao Figueiredo (Sao Paolo, Brazil), Jon Irazabal (Bilbao, Sepanyol) dan Hector Hevel (Leidschendam, Belanda).
FIFA pada 3 Nov lepas menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit serta mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000), dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial