SUKAN > BERITA

PENANG FC TINGKAT INTENSITI LATIHAN, NILAI PRESTASI PEMAIN IMPORT UNTUK PULIHKAN PRESTASI

19/11/2025 05:48 PM

GEORGE TOWN, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bagi memastikan prestasi Penang FC yang kini berada pada tahap kurang memuaskan dapat dipulihkan secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata antara yang dilaksanakan termasuk meningkatkan intensiti latihan, analisis taktikal secara lebih terperinci dan menambah baik struktur teknikal pasukan Harimau Kumbang itu.

“Langkah penstrukturan pemain juga sedang dilaksanakan secara profesional termasuk melepaskan pemain import dari Malawi, Limbikani Oscar Mzava sejak Julai lepas dengan posisinya digantikan oleh pemain antarabangsa Filipina, OJ Porteria bagi memastikan pasukan kekal kompetitif.

“Pengurusan juga masih memberikan ruang dan tempoh yang sewajarnya kepada pemain import dari Korea Selatan Lim Inkyu untuk mencapai tahap kecergasan optimum seperti yang ditetapkan oleh pasukan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 (Belanjawan Negeri 2026) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Gooi berkata keputusan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan bagi memastikan prestasi keseluruhan pasukan berada pada tahap terbaik.

Mengakui kedudukan Harimau Kumbang yang masih mencabar dengan hanya mencatatkan satu kemenangan daripada lapan perlawanan saingan Liga Super musim ini, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus meningkatkan prestasi dan kedudukan pasukan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan