POLITIK > BERITA

CALON GRS MOHD ARSAD TAWAR 'VISI ERA BAHARU TEMPASUK' PERTAHANKAN KERUSI DUN

20/11/2025 11:06 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari menawarkan Visi Era Baharu Tempasuk 2025 – 2030 (T30) kepada pendudukTempasuk pada Pilihan Raya Negeri ke-17.

Mohd Arsad, 50, berkata T30 merupakan sebuah pelan pembangunan bersepadu yang menumpukan pada transformasi ekonomi, pemerkasaan infrastruktur dan peningkatan kebajikan rakyat di kawasan Tempasuk.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata pelan berkenaan dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat setempat dan yakin ia boleh dicapai melalui perancangan teratur dan tindakan konsisten.

“Visi Era Baharu Tempasuk 2025 – 2030 atau T30 ada tujuh teras utama iaitu ekonomi, infrastruktur, pendidikan, sosial, pentadbiran, agama dan belia. Hari ini saya mahu fokus kepada tiga teras utama dahulu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Mengulas mengenai teras ekonomi, Mohd Arsad berkata fokus utamanya adalah membangunkan kapasiti penduduk Tempasuk menerusi program keusahawanan berasaskan pertanian moden dan perikanan, selain menarik kemasukan sektor perkilanganan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan.

Bagi teras infrastruktur, Mohd Arsad memberi jaminan bahawa naik taraf jalan kampung, sistem bekalan air, dewan dan balai raya akan diteruskan secara berperingkat, selain meneruskan usaha pembinaan empangan kecil di Tempasuk.

“Untuk jangka masa panjang, saya akan meneruskan usaha sejak lima tahun lalu bagi pembinaan empangan kecil di DUN Tempasuk untuk menampung keperluan bekalan air dan elektrik pada masa depan,” katanya.

Di bawah teras kebajikan, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada penjagaan golongan berkeperluan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), wanita dan keluarga berpendapatan rendah bagi memastikan pembangunan yang dirancang bersifat inklusif dan menambah baik kualiti hidup penduduk.

Selain hala tuju masa depan, Mohd Arsad turut menjelaskan bahawa kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya selama ini lahir daripada hubungan rapat dengan masyarakat dan kehadirannya yang konsisten di lapangan.

“Rakyat Tempasuk tahu saya bukan hanya datang waktu pilihan raya. Saya hadir dalam waktu susah, waktu banjir, waktu kecemasan dan waktu mereka perlukan wakil bagi menyuarakan hasrat mereka,” katanya.

Beliau berkata lebih 100 projek infrastruktur kecil dan sederhana telah berjaya dilaksanakan sepanjang penggal perkhidmatannya, termasuk pembangunan jalan kampung, sistem air, kemudahan awam serta pelbagai program pendidikan dan belia.

“Alhamdulillah… antara yang terbesar ialah peningkatan infrastruktur kampung secara besar-besaran, pemerkasaan belia dan pendidikan, serta pengurusan krisis dan kebajikan rakyat,” katanya.

Mohd Arsad menegaskan bahawa pelaksanaan T30 merupakan sebahagian daripada komitmennya demi  kesinambungan usaha yang telah terbukti memberikan impak dan diyakini mampu melonjakkan Tempasuk ke arah kemajuan lebih holistik.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 
N09: TEMPASUK: SABAH: 17,116
 
1. Rozlih @ John Samud (KDM)
2. Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS-Gagasan Rakyat)
3. Dr Rimin Maun (PKS)
4. Azuwan Marjan @ Norjan (BN-UMNO)
5. Timuti Majitol (PIS)
6. Mohd Khidir Lamsil (Warisan)
7. Walter Mark Mukis (STARSABAH)
 
 (2020: Mohd Arsad Bistari: BN-UMNO: Maj: 1,685)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan