SUKAN > BERITA

RSMIR 2025: MARIKH HARAP DAPAT KEKAL AKSI CEMERLANG KE PULAU LANGKAWI

20/11/2025 12:10 PM

GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Pasukan Marikh daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap momentum perlumbaan kedua pada Kejohananan Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2025 dari Pangkor, Perak ke Pulau Pinang, dapat diteruskan semasa pelayaran ke Pulau Langkawi hari ini.

Skipper Marikh Koperal Udara Muhammad Husaini Mohd Rodzi berkata jika pasukan dapat meneruskan rentak cemerlang itu, mereka berpotensi untuk menamatkan saingan pada kedudukan podium bagi Perlumbaan Kelas 5.

“Kami memperoleh kedudukan keempat untuk perlumbaan pertama dari Pelabuhan Klang (Selangor) ke Pulau Pangkor, jadi kami cuba mengejar semula pada perlumbaan kedua (Pulau Pangkor ke Pulau Pinang). Alhamdulillah, berjaya mendapat tempat ketiga,” katanya semasa ditemui semalam. 

Muhammad Husaini berkata buat masa kini, fokus mereka ialah meneruskan perlumbaan dengan lancar dan memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan supaya hasrat berada pada kedudukan podium tercapai. 

“Kami sudah membuat persediaan (termasuk) melihat ramalan cuaca untuk mengetahui keadaan angin. Harap kru juga bersedia (untuk menghadapi cabaran cuaca) dan semoga rezeki berpihak kepada kami dari Pulau Pinang ke Langkawi,” katanya.

Pasukan Marikh berada pada kedudukan ketiga bagi Kelas 5 ketika ini, selepas mengumpul 12 mata penalti, manakala pasukan Dash dan Sade 2 masing-masing dari Malaysia menghuni tempat pertama (3 mata penalti) dan kedua (6 mata penalti).

RMSIR berlangsung sembilan hari bermula 14 Nov dan disertai 23 pasukan, akan meneruskan perlumbaan ke Pulau Langkawi hari ini

Kali pertama dianjurkan pada 1990, RMSIR merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia yang merupakan cetusan idea Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika menjadi Raja Muda Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan