AM > BERITA

PM Anwar Mohon Sokongan Afrika Selatan Dalam Pencalonan Malaysia Di Badan Antarabangsa Termasuk UNSC

21/11/2025 08:39 PM

Oleh Saraswathi Muniappan

JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah memohon sokongan Afrika Selatan mengenai pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Turut dilihat ialah pencalonan Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), kata Perdana Menteri.

Beliau berkata permohonan itu dibuat semasa kunjungan hormat ke atas Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.

“Saya turut memohon dukungan Afrika Selatan mengenai pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa termasuk IMO, ECOSOC, ITU, UNHRC dan UNSC,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Anwar berkata Malaysia komited membina hubungan yang lebih kukuh berteraskan solidariti, keyakinan dan agenda pembangunan yang saling memanfaatkan rakyat  Malaysia dan Afrika Selatan.

IMO ialah agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab terhadap keselamatan perkapalan dan ECOSOC pula ialah satu daripada enam badan utama PBB yang menyelaras kerja-kerja ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Sementara itu, ITU merupakan agensi khas PBB untuk teknologi maklumat dan komunikasi sementara UNHRC ialah sebuah badan antara kerajaan dalam PBB. 

UNSC merupakan badan utama bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan keamanan di peringkat antarabangsa.

Anwar kini  dalam rangka lawatan kerja empat hari bermula semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20  (G20) di Johannesburg sebagai tetamu Presiden Afrika Selatan.

Perdana Menteri diundang menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang bermula esok sehingga 23 November, adalah atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan