SUKAN > BERITA

JDT BERPESTA GOL, BENAM MELAKA FC 7-1

21/11/2025 10:57 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super, selepas berpesta gol membenam Melaka FC 7-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.

Kejayaan yang diraih pasukan kendalian Xisco Munoz itu merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut musim ini, sekali gus mengukuhkan lagi dominasi skuad Harimau Selatan di persada liga.

Pasukan tuan rumah bermula garang apabila menggempur kubu pertahanan pelawat sebelum membuka tirai jaringan pada minit keenam, menerusi pemain pertahanan Jonathan Silva yang menyudahkan hantaran Mohd Afiq Fazail dengan satu rembatan kemas.

JDT terus menambah jaringan pada minit ke-32 selepas penyerang sensasi Bergson Silva menanduk masuk sepakan percuma yang diambil Oscar Arribas, sekali gus menewaskan penjaga gol lawan.

Memasuki babak kedua, JDT terus menguasai permainan apabila meledak dua gol  meninggalkan Melaka FC jauh di belakang.

Pemain gantian Heberty Fernandes menyumbang gol ketiga pada minit ke-48 hasil lorongan daripada Jairo Da Silva, manakala Teto Martin menambah gol keempat JDT pada minit ke-50, selepas pertahanan lawan gagal menanduk kemas untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, membolehkan beliau melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.

Tidak menunggu lama, Bergson Silva sekali lagi muncul wira apabila menambah gol kelima JDT menerusi penyudah mudah selepas menggelecek bola hasil hantaran jauh Park Junheong.

Lapan minit kemudian, JDT terus menambah derita lawan apabila Teto Martin meledak gol keenam, selepas menerima hantaran kemas daripada Heberty Fernandes.

Pasukan pelawat berjaya mengejutkan JDT apabila pemain gantian Abdul Azim Rahim berjaya menjaringkan gol pada minit ke-86. 

Bagaimanapun, JDT terus melebarkan jurang jaringan melalui Heberty Fernandez, yang menyempurnakan sepakan percuma, sekali gus memastikan kemenangan 7-1 sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan tersebut, JDT kini mengumpul 30 mata selepas 10 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan