SUKAN > BERITA

DEAFLYMPICS 2025: KUARTET 4X400M LELAKI NEGARA MARA KE FINAL

22/11/2025 07:58 PM

TOKYO, 22 Nov (Bernama) -- Kuartet 4x400 meter (m) lelaki negara mara ke akhir Deaflympics 2025 selepas mendapat peluang kedua berikutan dua pasukan lawan hilang kelayakan dan satu lagi tidak menamatkan saingan pada aksi penuh dramatik di Stadium Metropolitan Komazawa, hari ini.

Kuartet negara yang dibarisi Muhammad Zumar Azman, Muhammad Shahrul Azmer Azman, Azlan Kuste dan Raja Pecut Sukan SEA Pekak Muhammad Zamir Azman mencatat 3 minit 33.94 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat ketiga bagi saringan kedua pusingan pertama, dengan terdahulu mereka di kedudukan kelima. 

Mengikut format kelayakan, lapan kuartet layak ke akhir Isnin ini dalam kalangan tiga terbaik setiap saringan diikuti dua masa terpantas keseluruhan.

Sementara itu, Muhammad Shahrul Azmer yang ditemui pemberita mengakui masih sukar mempercayai berjaya mara ke akhir, namun mahu menjadikan keajaiban berkenaan sebagai pembakar semangat untuk menampilkan larian lebih berani Isnin ini.

“Saya akan memberikan yang terbaik dan berjuang berhabis-habisan bersama rakan sepasukan,” katanya menerusi jurubahasa isyarat di sini hari ini. 

Sementara itu, Azlan yang menjadi pelari ketiga berharap seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan mereka agar dikurniakan kesihatan terbaik ketika turun beraksi di final nanti. 

“Saya harap 4x400 yang terbaik, bantuan doa semua khususnya agar kami sentiasa sihat dan berlaku keajaiban,” katanya. 

Aksi sebentar tadi menyaksikan kuartet Brazil tidak menamatkan perlumbaan manakala Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela disingkirkan untuk membuka laluan luar jangka buat skuad negara berada dalam kelompok pencabar pingat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan