GEORGE TOWN, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan sekali lagi menyatakan bahawa ia akan menunggu sehingga siasatan bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif selesai, sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut berhubung isu pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Kabinet telah mengadakan beberapa perbincangan mengenai isu tersebut dan ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.
“Saya 100 peratus bersetuju dengan apa yang Perdana Menteri katakan, biarkan siasatan itu diselesaikan terlebih dahulu dan sebaik sahaja Tun Md Raus menyelesaikan siasatan, saya akan meneliti laporan itu dan kami akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan tersebut.
“Kami, pihak berkepentingan yang melaburkan dana dalam bola sepak Malaysia, jadi sudah tentu kami mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan bagaimana kami boleh mengelakkan perkara ini daripada berulang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-100 Persatuan Badminton Pulau Pinang, di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas malam ini.
Pada 21 Nov, Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada sebarang usaha untuk menutup skandal melibatkan pendaftaran tujuh pemain warisan oleh FAM, sambil menyifatkannya sebagai isu besar yang mesti ditangani melalui prosedur yang betul.
FAM telah melantik Md Raus sebagai pengerusi jawatankuasa bebas untuk menyiasat isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, yang dikenakan tindakan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Pada 3 Nov, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk tersebut terhadap FAM dan tujuh pemain warisan itu atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen, di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.
Sehubungan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM11,000). Tujuh pemain tersebut turut digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial