KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersifat terbuka menerima kehadiran pemain profesional untuk menyertai kem badminton negara, yang kini dalam usaha memperkukuhkan sektor perseorangan lelaki.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Kenneth Jonassen, mengakui pemain profesional seperti pemain ranking ke-48 dunia Aidil Sholeh Ali Sadikin dan pemain ranking ke-68 dunia Jacky Kok telah menunjukkan prestasi memberangsangkan musim ini, sekali gus berpotensi dipertimbangkan untuk kerjasama bagi memperkukuh skuad kebangsaan.
“Saya telah meneliti semua aspek pemain bebas. Namun, mereka mungkin terikat dengan kontrak berbeza (penaja) atau mempunyai objektif tersendiri. Itu bukan sesuatu yang boleh saya tentukan, mereka sendiri yang perlu membuat keputusan. Jika mereka mahu mencuba atau menerima tawaran, pintu sentiasa terbuka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.
Jurulatih dari Denmark itu berkata pihaknya juga sedia menerima mana-mana pemain luar untuk menyertai BAM secara tetap ataupun menjalinkan kolaborasi latihan dari semasa ke semasa.
“Matlamat utama saya adalah meningkatkan tahap perseorangan lelaki Malaysia. Itu objektifnya. Ketika kejohanan mungkin kita bersaing sesama sendiri, tetapi di sini, kita harus mencari cara terbaik untuk berlatih bersama supaya kita sebagai sebuah negara menjadi lebih kuat,” katanya.
Jonassen berkata latihan bersama antara pemain kebangsaan dan pemain profesional merupakan antara langkah terbaik untuk mengembalikan maruah sektor perseorangan lelaki yang semakin tercabar.
Skuad perseorangan lelaki kebangsaan mengharungi kempen mengecewakan pada saingan musim ini apabila dua pemain negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh kerap tersingkir di pusingan awal dalam beberapa kejohanan disertai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial