KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) memantau rapat situasi banjir di Songkhla, Thailand, yang merupakan satu daripada kluster venue Sukan SEA 2025, dijadual berlangsung pada 9-22 Dis ini.
Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 Datuk Kenny Goh, berkata urusetia sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Sukan SEA Thailand bagi mendapatkan maklumat terkini dan memastikan keselamatan atlet serta kontinjen berada pada tahap terbaik.
“Urusetia memantau keadaan di sana dan sentiasa berhubung dengan jawatankuasa penganjur. Masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkaitan pelan kontingensi, termasuk kemungkinan menukar pengangkutan darat kepada penerbangan.
“Keutamaan adalah keselamatan kontinjen. Jika perlu ubah rancangan, kita akan ubah,” katanya selepas meninjau sesi latihan skuad skuasy negara di sini hari ini.
Sehingga kini, tiada maklumat rasmi mengenai mana-mana venue yang terjejas di Songkhla.
Sabtu lepas, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand akibat hujan lebat berterusan.
Bencana itu turut menyebabkan kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel sekitar Songkhla akibat jalan dinaiki air.
Songkhla dijadual menjadi tuan rumah bagi acara catur, judo, karate, muay, pencak silat, gusti, wushu, bola sepak dan futsal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial