KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Bekas pengendali Harimau Malaya dan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, disifatkan sebagai calon paling tepat untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), kata legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh.
Dollah, yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berkata pengalaman luas dimiliki Kim Swee di peringkat domestik dan antarabangsa diyakini mampu melonjakkan prestasi pemain muda negara.
“Bagi saya, ini satu jalan yang terbaik. Pengalaman beliau (Kim Swee) luas, termasuk daripada peringkat akar umbi lagi. Saya rasa pengalaman beliau banyak yang kita perlukan, dan saya percaya kita (FAM) akan bantu,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM itu.
Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan FAM telah menyarankan Kim Swee untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal AMD.
Menterinya Hannah Yeoh menyifatkan cadangan itu sebagai perkembangan positif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada jurulatih tempatan terbabit dalam program pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi.
Kim Swee mempunyai reputasi kukuh dalam arena kejurulatihan apabila membimbing Harimau Muda meraih pingat emas bola sepak lelaki pada Sukan SEA 2011 di Indonesia dan bekas Pengarah Teknikal FAM itu ketika ini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan kelab Indonesia, Persik Kediri.
Selain meraih perak pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, beliau turut membawa skuad negara ke suku akhir Piala Asia B-23 2018 di China.
Terdahulu, Kim Swee dilaporkan bakal memulakan tugas di AMD seawal 1 Januari depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial