KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu lori yang membawa kenderaan tanpa muatan ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Kepong, selepas didapati memandu dengan pelbagai dokumen tamat tempoh termasuk tanpa lesen pengendali.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam, berkata pemeriksaan mendapati lelaki berusia 41 tahun itu tidak mempunyai insurans sah, selain Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang telah tamat tempoh.
“Pemeriksaan juga mendapati perakuan pemeriksaan berkala Puspakom kenderaan terbabit sudah tamat tempoh. Pemandu lori itu memberitahu dia tetap memandu atas arahan majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamidi berkata JPJ akan memanggil majikan berkenaan untuk membantu siasatan, manakala lori berkenaan turut disita dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ Kuala Lumpur sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan berterusan ke atas semua aduan bagi memastikan kenderaan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.
Beliau berkata sebarang aduan kesalahan lalu lintas boleh disalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial