SUKAN > BERITA

SKUAD HARIMAU MUDA BERDEPAN UJIAN BERAT MENJELANG AKSI BERTEMU VIETNAM

09/12/2025 04:58 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 9 Dis (Bernama) -- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan terus berdepan ujian apabila berkemungkinan kehilangan dua tonggak utama menjelang aksi penentuan menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 di sini.

Ketua jurulatih kebangsaan Mohd Nafuzi Zain memaklumkan penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli telah meninggalkan pasukan selepas dibenarkan pulang bagi menguruskan pengebumian bapa tirinya Shahrol Asikin Mohd Shariff yang meninggal dunia pagi tadi.

Selain itu, beliau berkata pemain tengah Ahmad Haziq Kutty Abba yang menyerlah ketika membantu Malaysia menumpaskan pada Laos 4-1 Sabtu lepas, mengalami kecederaan pangkal paha dan hampir pasti tidak dapat diturunkan bagi menghadapi baki kempen kali ini.

“Kami ada berita baik dan kurang baik untuk pasukan, pagi tadi kami menerima khabar bapa Haqimi telah meninggal dunia dan kami juga kehilangan Haziq Kutty yang mengalami kecederaan serta akan terlepas untuk baki perlawanan pada temasya ini.

“Untuk situasi Haqimi kami akan lihat semula sama ada dia dapat kembali bersama pasukan ataupun sebaliknya tetapi bagi pasukan dan saya, kami memang memerlukan khidmat Haqimi untuk bertemu Vietnam,” katanya ketika ditemui di hotel pasukan di sini hari ini.

Mohd Nafuzi bagaimanapun masih boleh menarik nafas lega apabila penyerang Selangor FC Muhammad Alif Izwan Yuslan akan menyertai pasukan petang ini selepas mendapat kebenaran kelab, selain pemain pertahanan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil yang baru pulih daripada kecederaan.

“Walaupun ada yang pergi, ada yang kembali, pemain pasukan kami masih belum mencukupi (23 pemain) tapi kami terima cabaran ini dan terus fokus untuk bertemu Vietnam dalam misi ke separuh akhir,” kata bekas pengendali Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC itu.

Sementara itu, Mohd Nafuzi ketika mengulas mengenai pertembungan dengan Vietnam berkata pasukan telah membuat persediaan rapi kerana menyedari cabaran hebat yang bakal diberikan Vietnam sebagai satu pasukan pilihan.

“Kami akan bermain untuk menang (lawan Vietnam), untuk mendapatkan tiga mata dan yang paling penting kami tidak kalah,” katanya.

Skuad Harimau Muda dijadualkan berdepan Vietnam di Stadium Nasional Rajamangala di sini pada Khamis ini, dengan keputusan seri sudah memadai untuk memastikan anak buah Mohd Nafuzi mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B.

Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata di dua posisi teratas kumpulan dengan dipisahkan menerusi perbezaan gol manakala Laos berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi. Kali terakhir skuad negara menaiki podium ialah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan