SUKAN > BERITA

KEPANTASAN BOLEH JADI SENJATA HARIMAU MUDA SEKAT VIETNAM - HAYKAL DANISH

09/12/2025 05:23 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 9 Dis (Bernama) -- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan dituntut untuk memberikan fokus maksimum menjelang aksi getir menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 di sini, Khamis ini.

Pemain tengah Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon berkata pasukan negara masih mempunyai masa untuk memperkemaskan persiapan termasuk memantapkan aspek pertahanan dan kekuatan fizikal.

Mengakui Vietnam selaku pasukan pilihan dan memiliki kelebihan fizikal, Mohammad Haykal atau lebih dikenali sebagai Haykal Danish menekankan keperluan untuk Malaysia memanfaatkan aspek kepantasan bagi menyaingi tempo permainan pemenang pingat emas edisi 2019 dan 2021 itu.

“Banyak benda kami perlu perbaiki. Dari segi bertahan dan fizikal, kami perlu lebih kuat daripada perlawanan sebelum ini. Jadi, saya harap pemain-pemain konsisten dengan latihan dan fokus.

“Sebagai pemain yang kurang dari segi fizikal, kami perlu cepat menggerakkan bola serta bergerak dari sisi ke sisi. Kami tidak boleh lawan fizikal, kami kena lawan dengan permainan pantas,” katanya ketika ditemui di hotel pasukan di sini hari ini.

Skuad Harimau Muda dijadualkan berdepan Vietnam di Stadium Nasional Rajamangala di sini, dengan keputusan seri sudah memadai untuk memastikan anak buah Mohd Nafuzi Zain mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B.

Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata di dua kedudukan teratas kumpulan, dipisahkan menerusi perbezaan gol manakala Laos berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Sementara itu, pemain Selangor FC II itu turut mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan 4-1 ke atas Laos pada Sabtu lepas, sebaliknya perlu menjadikan ia sebagai suntikan motivasi untuk menentang Vietnam.

“Memang jika seri kami sudah layak tetapi kami sasarkan kemenangan… mesti menang demi maruah,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi. Kali terakhir skuad negara menaiki podium ialah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan