Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 10 Dis (Bernama) -- Kem skuad kanu slalom negara boleh menarik nafas lega selepas semakin hampir mencapai sasaran pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand apabila meraih dua gangsa di Pusat Latihan Mendayung dan Kano Tentera Laut Diraja Thailand di Rayong hari ini.
Dua pingat gangsa Malaysia disumbangkan oleh Mohamad Nazrin Najib menerusi acara kayak slalom individu lelaki dan Azlyn Farhana Muhammad Azmi Tan dalam acara kanu slalom individu wanita.
Pengurus pasukan slalom negara Muhammad Asirullah Kamar berkata Malaysia menyasarkan untuk meraih pingat perak esok bagi melengkapkan sasaran keseluruhan dua gangsa dan satu perak.
“Esok kami ada dua lagi acara akhir berpingat iaitu K1 wanita dan C1 lelaki dan atlet kita hampir bersedia sepenuhnya untuk cabaran itu.
“Sasaran kami ialah dua gangsa dan satu perak dalam acara slalom, kami akan berusaha mendapatkan pingat perak esok,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, kuartet negara yang dianggotai Montoya Raw Michael, Khairul Naim Zainal, Aimi Ayuni Azwan dan Syahida Asyiqin Rusli menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara akhir kayak berempat campuran 500 meter yang menyaksikan Indonesia merangkul emas, Singapura memenangi perak dan Thailand memperoleh gangsa.
Dalam acara kayak beregu campuran 500m, Montoya Raw dan Aimi Ayuni menduduki tempat kelima. Singapura meraih emas, diikuti Vietnam dengan perak dan Indonesia dengan gangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial