SUKAN > BERITA

KEGHAIRAHAN BERLEBIHAN MAKAN DIRI - JONASSEN

10/12/2025 09:33 PM

 

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 10 Dis (Bernama) -- Pengarah kejurulatihan perseorangan lelaki negara Kenneth Jonassen percaya keinginan kuat Malaysia untuk menang mungkin menjadi faktor yang menjejaskan prestasi pemain apabila tewas 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia, dalam final acara berpasukan lelaki di Sukan SEA Thailand 2025 di Pathum Thani, hari ini.

Jonassen berkata pemain sukar menyeimbangkan antara semangat dan ketenangan, sekali gus membiarkan emosi menjejaskan ketelitian taktikal serta keputusan mereka di gelanggang di Gimnasium 4, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit.

“Saya perlu menerima kekalahan ini, ia agak perit. Saya rasa keinginan mereka (untuk meraih emas) mungkin sebab kita tidak dapat bermain pada tahap terbaik hari ini. Keinginan inilah yang perlu kita belajar kawal.

“Sudah tentu bila sampai ke final, kita mahu menang, tetapi tidak boleh membiarkan emosi menguasai dan menutup kejelasan cara bermain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bagi Jonassen, 50, kekalahan ini memberikan gambaran jelas bahawa masih banyak kerja perlu dilakukan sekiranya mahu mencabar Piala Thomas tahun depan yang dijadual  berlangsung di Horsens, Denmark, dari 23 April hingga 3 Mei.

Dalam perseorangan lelaki pertama, Leong Jun Hao dilihat tergesa-gesa walaupun mendahului dengan selesa pada set kedua. Keghairahan pemain ranking 28 dunia itu memberi peluang kepada Alwi Farhan untuk bangkit dan meraih mata pertama bagi Indonesia, katanya.

Jun Hao tewas 12-21, 19-21.

Jonassen berkata Justin Hoh membuat terlalu banyak kesilapan dalam perseorangan kedua dan gagal bangkit selepas tewas kepada Moh Zaki Ubaidillah, pemain ranking 38 dunia, 12-21, 14-21.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi, nyata kecewa apabila juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tewas 12-21, 12-21 kepada pasangan nombor lapan dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Menurut Herry, sebagai gandingan nombor dua dunia, Aaron-Wooi Yik sepatutnya menunjukkan prestasi lebih baik berdepan lawan ranking lebih rendah.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia gagal menamatkan penantian dua dekad meraih emas dalam acara berkenaan, yang terakhir dimenangi pada Sukan SEA Filipina 2005.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah – Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan