SUKAN > BERITA

SELANGOR FC TAMAT KEMPEN ACL2 DENGAN KALAH 0-1 KEPADA LION CITY SAILORS

10/12/2025 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Impian Selangor FC menutup kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 dengan kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada kelab Singapura, Lion City Sailors, dalam aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Bermula pada minit ke-15, Selangor mula menunjukkan keyakinan apabila kapten pasukan, Faisal Halim, mencuba di hadapan tiang gol namun gagal menewaskan penjaga gol, dengan Chrigor Morales turut mencuba beberapa minit kemudian tetapi masih gagal menjaringkan gol buat tuan rumah.

Pada minit ke-25, Lion City memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti hasil pelanggaran antara pertahanan Selangor, Mohammad Abualnadi, dan Maxime Lestienne.

Namun, percubaan kencang Lestienne hanya sekadar menggegar palang, sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Sebaik babak kedua dimulakan, Selangor FC dikejutkan apabila Tsiy Ndenge meledak gol kemenangan pada minit ke-50 hasil hantaran cantik Song Ui-Young, yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kamalullah Al-Hafiz.

Lion City hampir menggandakan jaringan pada minit ke-84 menerusi Anderson Lopes, namun percubaannya berjaya dinafikan Kamalullah dan turut disekat pertahanan muda Selangor, Harith Haiqal.

Pada minit-minit akhir permainan, Selangor melancarkan beberapa serangan, termasuk percubaan Morales dari sebelah kiri padang, tetapi tidak cukup untuk memecah kebuntuan. Kekecewaan jelas terpancar pada wajah pemain tuan rumah yang melihat peluang terbaik itu gagal disempurnakan.

Selangor sebelum ini sudah pun mengesahkan penyingkiran daripada saingan ACL2 selepas tewas 2-3 kepada wakil Indonesia, Persib Bandung, pada 6 Nov lepas di venue sama.

Kekalahan itu adalah yang keempat berturut-turut, sekali gus meletakkan Gergasi Merah di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Bangkok United dan Lion City Sailors dalam aksi awal.

Satu-satunya mata yang berjaya diraih Selangor hadir menerusi keputusan seri 1-1 dengan Bangkok United di Bangkok pada 26 Nov lepas — keputusan terbaik mereka dalam lima perlawanan Kumpulan G.

Sebelum perlawanan malam ini, Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, menegaskan keyakinannya untuk memburu kemenangan terakhir, namun misi itu tidak kesampaian.

“Our #ACLTwo journey this season comes to an end. Thank you for all your support throughout the whole campaign,” menurut kenyataan Selangor FC di laman sosial rasmi mereka, malam ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan