SUKAN > BERITA

PIALA FA: SABAH HANYA FOKUS PADA PASUKAN SENDIRI

13/12/2025 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Fokus Sabah FC kekal kepada pasukan mereka sendiri, pada ketika pasukan itu mahu menamatkan penantian 30 tahun sejak kali terakhir mereka menjulang Piada FA pada 1995.

Ketua Jurulatih Jean-Paul de Marigny berkata pasukannya juga tidak akan terganggu dengan masalah kecederaan dan penggantungan dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT), ketika pertemuan mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

“Saya seorang jurulatih yang hanya memfokuskan kepada pasukan saya. Ini yang di bawah kawalan saya dan saya tidak boleh mengawal pihak lawan.

“Objektif utama saya ialah memastikan pemain melaksanakan rancangan permainan dengan tahap mental yang betul dan berani,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai perlawanan esok, de Marigny berkata pasukannya akan bersedia menghadapinya berbanding berasa tekanan terhadapnya.

“Sebabnya ialah, kami di sini (Final Piala FA) kerana atas usaha kami dan kami berhak ke atasnya. Ia suatu penghormatan untuk berada di sini (Final Piala FA).

“Jadi perkara utama ialah kami perlu menghargai detik ini dan menikmati kesempatan yang ada,” katanya.

Sementara itu, kapten Sabah Dominic Tan berkata walaupun skuad menikmati detik tersebut, pasukan itu tetap bersemangat dan lapar untuk menamatkan misi dengan penuh gemilang.

“Ia merupakan satu perjalanan yang panjang untuk kami mara ke final selepas 27 tahun. Kami sangat berbangga dengan detik ini, namun sebagai pemain profesional kami tidak pernah berpuas hati, jadi kami akan memberikan yang terbaik pada perlawanan akhir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan