KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Virandeep Singh mencipta sejarah sebagai pemain kriket Malaysia pertama yang disenaraikan dalam Lelongan Pemain Liga Perdana India (IPL) 2026, yang dijadualkan berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini, menurut Persatuan Kriket Malaysia (MCA).
Presiden MCA Mahinda Vallipuram menyifatkan pencapaian itu sebagai satu detik penting bukan sahaja buat Virandeep, malah untuk perkembangan kriket negara.
“Ini sememangnya satu pengiktirafan besar terhadap bakat, komitmen, dan pencapaian konsisten Virandeep sepanjang kariernya. Kemasukan beliau dalam Lelongan IPL mencerminkan kemajuan yang dicapai kriket Malaysia serta peningkatan pengiktirafan pemain negara di pentas global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Kawalan Kriket India (BCCI) atas pengiktirafan terhadap potensi dan keupayaan pemain kriket Malaysia untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Virandeep sebelum ini pernah beraksi dalam beberapa kejohanan francais antarabangsa, termasuk Liga Perdana Kanada, Liga Antarabangsa T20, dan Liga Perdana Nepal, sekali gus meraih pengalaman berharga menentang pemain bertaraf dunia.
Sementara itu, Virandeep menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai detik membanggakan buat dirinya dan kriket Malaysia.
“Saya amat berterima kasih atas sokongan MCA, jurulatih, rakan sepasukan, serta keluarga. Penyertaan dalam Lelongan IPL memberi motivasi kepada saya untuk terus bekerja keras dan mengharumkan nama Malaysia di mana sahaja saya beraksi,” katanya.
MCA percaya negara memiliki kumpulan pemain yang semakin berkembang dengan bakat serta keupayaan untuk beraksi di peringkat profesional lebih tinggi, dan pencapaian Virandeep diharap menjadi inspirasi kepada generasi baharu pemain kriket Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial