Oleh Shanika Abdullatib
MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Sebanyak 66 atlet daripada 19 jenis sukan diserapkan ke dalam Projek Emas, sebuah program khas persediaan kontinjen Melaka bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam berkata Projek Emas memberi tumpuan kepada atlet yang berpotensi tinggi meraih pingat khususnya emas dalam temasya itu nanti.
"Atlet yang diserapkan ini adalah penyumbang pingat kontinjen Melaka pada SUKMA 2024 di Sarawak. Projek ini adalah strategi negeri untuk memastikan atlet berpotensi kekal bersedia dan terus menyumbang pingat, selain menerima sokongan penuh bagi memantapkan prestasi mereka,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Projek Emas yang bermula 1 Ogos lepas menyasarkan atlet daripada pelbagai sukan termasuk wushu, badminton, akuatik, petanque, tinju, berbasikal, olahraga, pencak silat, skuasy, sepak takraw, angkat berat, muay thai, judo, pingpong, catur, tenpin boling dan bola keranjang.
"Bagi Projek SUKMA pula, ia dijadual bermula seawal Januari 2026 dengan fokus utama adalah pembangunan atlet-atlet lain, sebagai langkah memperkukuh barisan pelapis negeri," katanya.
Shanmugam berkata perancangan berfasa dan sokongan berterusan akan menjadi platform terbaik buat kontinjen Melaka dalam membentuk pasukan yang lebih berpotensi untuk mengulangi kejayaan membanggakan di SUKMA 2026.
"Segala perancangan kami adalah berlandaskan pencapaian pada SUKMA 2024 di Sarawak dan ia dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan prestasi cemerlang pada edisi di Selangor nanti," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Majlis Sukan Negeri Melaka telah melengkapkan pendaftaran sukan bagi SUKMA 2026 mengikut tarikh ditetapkan sebagai persediaan awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial