KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Malaysia bakal mengharungi jadual padat merangkumi pelbagai temasya dan kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa, di samping berperanan sebagai tuan rumah yang berupaya menjadi platform penting bagi meneruskan kesinambungan pembangunan sukan negara pada 2026.
Penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata penyertaan Malaysia dalam pelbagai temasya sukan termasuk Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel diharap mampu memperkukuh kedudukan negara serta membuka ruang atlet muda menunjukkan bakat di pentas tertinggi.
“Kejayaan kontinjen kita pada temasya-temasya sukan 2026 boleh menjadi penanda aras kepada persediaan kita untuk menghadapi temasya Sukan SEA 2027 selaku tuan rumah.
“Pada masa sama, kita boleh melihat kemunculan atlet individu negara yang boleh kita sandarkan harapan untuk menamatkan kemarau pingat emas pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pekan berkata penglibatan itu juga penting bagi pembangunan atlet kerana ia menyediakan platform untuk memupuk bakat muda dan mempercepatkan kitaran peralihan atlet, sekali gus mewujudkan persaingan yang lebih kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kita harap dapat tonjolkan lebih banyak atlet pelapis yang mencipta kejayaan. Kita harap mereka matang dengan cepat di peringkat antarabangsa supaya tidak lagi dibayangi atlet senior yang menyebabkan kitaran sukan kita terpaksa menunggu tempoh agak lama untuk melahirkan juara kebangsaan yang baharu.
“Kitaran peralihan atlet ini perlu berlaku dengan cepat sebagai petanda wujudnya persaingan yang sangat kompetitif dalam setiap sukan dan secara tidak langsung dapat merapatkan jurang prestasi antara atlet kita dengan atlet terbaik serantau, Asia dan Dunia,” katanya.
Beliau berkata kitaran peralihan yang baik menjadi satu-satunya cara untuk melahirkan juara di peringkat Asia mahupun dunia pada usia muda atau remaja seperti yang diamalkan oleh negara China.
Kalendar sukan 2026 antaranya memperlihatkan rentetan acara berimpak tinggi sepanjang tahun, merangkumi temasya sukan, kejohanan individu bertaraf dunia serta pentas pembangunan atlet pelapis yang secara kolektif membentuk laluan penilaian sebenar terhadap dasar dan perancangan sukan nasional.
Di peringkat global, atlet luncur alpine Aruwin Idami Salehhuddin yang telah mengesahkan slot akan mengibar cabaran negara pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina di Itali dari 6 hingga 22 Feb, dengan sasaran memperbaiki pencapaian pada penampilan pertama edisi 2022 di Beijing, China.
Malaysia juga dijangka menghantar atlet ke Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 23 Julai hingga 2 Ogos serta memberi tumpuan kepada Sukan Asia di Aichi-Nagoya dari 19 Sept hingga 4 Okt dan Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya dari 18 hingga 24 Okt.
Selain itu, skuad badminton negara dijangka mengambil bahagian pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India dari 17 hingga 23 Ogos, menyaksikan pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan turun mempertahankan gelaran bersejarah dimenangi mereka musim ini.
Sebagai tuan rumah, Malaysia dijadualkan menganjurkan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, dari 6 hingga 11 Jan serta pusingan ketiga Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia dari 24 hingga 26 April di Velodrom Nasional, Nilai.
Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang dijadualkan berlangsung di lima universiti sekitar Lembah Klang dari 10 hingga 19 Dis.
Dalam sukan akuatik, Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Polo Air Asia (Bawah 18 Tahun) dan Kejohanan Akuatik Kumpulan Umur SEA ke-48 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Di peringkat domestik, Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 Sept, berupaya menyediakan platform utama bagi atlet tempatan mengasah bakat dan mempersiapkan diri menghadapi temasya antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial