KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Enam pemain muda berpotensi diberi kepercayaan menyertai kem latihan skuad hoki lelaki kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Kelayakan Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac depan.
Enam pemain berkenaan sebelum ini memperkuatkan pasukan pada Piala Dunia Remaja Lelaki 2025 di Chennai–Madurai, iaitu penjaga gol Haziq Muizuddin, Andywalfian, Azimuddin Syakir, Adam Ashraf, Danish Aiman dan Addy Jazmi.
Ketua jurulatih kebangsaan Sarjit Singh berkata pemain muda yang disenaraikan itu sebahagian daripada perancangan pasukan untuk memastikan kesinambungan dalam skuad Speedy Tigers, selain memberi pendedahan awal kepada bakat muda di peringkat tertinggi.
“Kami inginkan suntikan baharu dalam pasukan dan kehadiran enam pemain muda ini membawa sesuatu yang lebih segar. Ini juga mewujudkan persaingan yang sihat kerana setiap pemain perlu bekerja lebih keras untuk memastikan tempat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarjit berkata enam pemain muda itu dipilih berdasarkan prestasi, disiplin, kefahaman taktikal serta kekuatan mental ketika beraksi dalam tekanan, selain tahap kesediaan fizikal untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.
Beliau turut berharap pemain muda yang diberikan peluang itu tampil dengan keyakinan tinggi, cepat menyesuaikan diri serta berani memberi saingan kepada pemain senior.
Secara keseluruhan, sebanyak 30 pemain terpilih menyertai kem latihan kebangsaan yang bermula semalam (29 Dis) melibatkan lima penjaga gol, 10 pemain pertahanan, lapan pemain tengah dan tujuh penyerang.
Dalam pada itu, sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Kelayakan Piala Dunia 2026, pasukan senior lelaki kebangsaan dijadualkan mengadakan jelajah ke Perth, Australia pada Januari ini bagi menghadapi lima aksi persahabatan menentang Australia serta kelab Western Australia.
Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 akan berlangsung di Belgium dan Belanda dari 15 hingga 30 Ogos 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial