SUKAN > BERITA

ABU BAKAR SEDIA TERAJUI PFA, FOKUS PULIHKAN BOLA SEPAK PERLIS

14/01/2026 08:24 PM

KANGAR, 14 Jan (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah menyuarakan keyakinan untuk menerajui kepimpinan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan perancangan baharu bagi mengembalikan kegemilangan pasukan negeri itu, yang sekian lama menyepi daripada arena sukan tanah air.

Abu Bakar berkata isu pendaftaran dan pemilihan jawatankuasa PFA perlu diselesaikan terlebih dahulu, dengan beliau sendiri bersedia memikul tanggungjawab sebagai presiden persatuan itu bagi merangka hala tuju baharu demi kemajuan bola sepak Perlis.

“Saya difahamkan jawatankuasa sedia ada belum dibentuk dan hampir dua tahun PFA tidak mengadakan mesyuarat agung. Di situlah kami akan mulakan, termasuk mengumumkan beberapa perkara dan insya-Allah kalau tiada halangan, saya sendiri akan menjadi Presiden PFA,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Pasukan bola sepak Perlis yang dikenali dengan gelaran Singa Utara pernah mencipta sejarah apabila menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006, selain muncul juara Liga Super pada 2005.

Abu Bakar berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin lepas dan hasil perbincangan itu membuka ruang kepada pelbagai perancangan baharu bagi memacu pembangunan bola sepak negeri berkenaan.

Sementara itu, Abu Bakar berkata pihaknya akan mencari jalan penyelesaian berhubung pemecatan PFA oleh FAM pada September tahun lepas, termasuk meneliti semula aspek kos serta tuntutan terhadap PFA selepas isu pendaftaran dan pemilihan jawatankuasa diselesaikan.

“… tetapi yang pentingnya bola sepak perlu kewangan. Insya-Allah tidak ada penyaluran daripada kerajaan negeri… tetapi kami akan berusaha mendapatkan sumber kewangan daripada pihak lain bagi membantu PFA,” katanya.

Pada 4 Sept 2025, FAM dilaporkan memecat PFA sebagai ahli gabungan selepas persatuan itu gagal menyelesaikan isu berkaitan arahan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), termasuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak kepada bekas Pengarah Bola Sepak PFA Matt Holland dalam tempoh enam bulan yang ditetapkan. 

PFA bagaimanapun boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli gabungan FAM semula selepas semua permasalahan berjaya diselesaikan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan