AM > BERITA

Angin Luruan Monsun China Punca Suhu Sejuk Beberapa Kawasan Di Malaysia - MetMalaysia

14/01/2026 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Angin sejuk luruan monsun dari Tanah Besar China dikenal pasti sebagai punca suhu di beberapa kawasan di Malaysia menurun sehingga merekodkan 18 darjah Celsius sejak beberapa hari lepas. 

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan data, suhu minimum di kebanyakan tempat seluruh negara lebih rendah daripada kebiasaan, iaitu menurun antara tiga hingga lima darjah Celsius pada 10 hingga 13 Jan lepas.

Beliau berkata keadaan suhu sama dijangka berulang pada 19 hingga 21 Jan, bergantung kepada pola angin luruan.

“Pagi tadi suhu sudah kembali normal. Bukan di Dungun, Terengganu sahaja tetapi banyak tempat seperti di kawasan pedalaman Dabong dan Gua Musang, masing-masing di Kelantan turut merekodkan suhu 18 darjah Celsius,” katanya kepada Bernama.

“Memang normal sekarang ini suhu di negara ini sejuk sedikit sebab anginnya yang datang dari kawasan sejuk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata suhu rendah itu kebanyakannya berlaku pada awal pagi dan orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan berkenaan.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati penduduk di daerah Dungun, terutama di kawasan luar bandar merasai suhu agak luar biasa pada waktu pagi sejak Ahad lepas. 

Suhu sejuk antara 18 hingga 20 darjah Celsius itu memaksa penduduk memakai jaket tebal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan