SUKAN > BERITA

JDT MENANG TIPIS 2-1, NATXO INSA DILAYANGKAN KAD MERAH

14/01/2026 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super 2025/2026 selepas menang tipis 2-1 ke atas Kuching City FC pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

JDT mendominasi permainan sejak minit pertama dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya, antaranya cubaan Bergson da Silva yang menyumbat masuk gol awal tuan rumah namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku kekasaran terhadap pemain lawan dalam kotak penalti.

Pasukan tuan rumah juga hampir membuka tirai pada minit ke-23 apabila Jairo da Silva menerima hantaran Oscar Arribas tetapi percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Kuching City FC Muhammad Haziq Nadzli.

Kuching City FC akhirnya mencipta kejutan pada minit ke-41 apabila Scott Woods menyempurnakan hantaran Muhammad Ramadhan Saifullah Usman. 

Memasuki babak kedua, beberapa percubaan menarik terus dihasilkan kedua-dua pasukan, namun JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-55 apabila kapten pasukan Natxo Insa dilayangkan kad merah selepas semakan VAR mendapati beliau melakukan kekasaran ke atas Scott Woods.

JDT bagaimanapun bangkit tiga minit kemudian apabila Ignacio Mendez menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan dari luar kotak penalti.

JDT mengesahkan kemenangan selepas Bergson da Silva menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-64 hasil hantaran Manuel Hidalgo dalam kotak penalti.

Sementara itu, Penang FC meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hasil jaringan Faith Obilor pada minit ke-36.

Di Stadium Hang Jebat, Krubong pula menyaksikan Melaka FC mengutip tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM FC. 

Kemenangan pasukan tuan rumah itu diraih menerusi jaringan Muhammad Sharel Fikri Md Fauzi pada minit ke-55 hasil tandukan selepas menerima umpanan Mahali Jasuli sebelum pemain pertahanan PDRM FC Badrul Effendy Fadli tertampan bola ke gawang sendiri tiga minit kemudian.

Melaka FC menambah gol ketiga pada minit ke-90 apabila Abdul Azim Rahim menanduk masuk bola hasil umpanan Mahali, sekali gus memastikan kemenangan mutlak ke atas pasukan pelawat.

Sementara itu, Selangor FC meraih kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan hasil tandukan padu Nooa Laine pada minit ke-61 yang menyudahkan sepakan penjuru Mukhairi Ajmal di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. 

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Kim Pan Gon melonjak ke tangga kedua Liga Super. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan