KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pemain utama beregu lelaki negara Aaron Chia percaya Terbuka Jerman di Mulheim an der Ruhr pada 24 Feb-1 Mac ini akan menjadi arena penting untuk memperkemas permainan mereka menjelang kejohanan badminton berprestif All England pada 3-8 Mac ini di Birmingham.
Dengan tempoh latihan yang lebih lama dan acara pemanas badan Terbuka Jerman, Aaron percaya persiapan itu akan mendatang hasil untuknya dan pasangan beregu Soh Wooi Yik sebelum mereka menyahut cabaran pada kejohanan badminton tertua dunia itu.
"Sebelum All England, kita ada Terbuka Jerman dulu. Jadi, kita akan ambil peluang itu di Terbuka Jerman sebagai pemanas badan yang mencukupi untuk All England," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Aaron, yang meraih naib juara All England dua kali bersama Wooi Yik pada edisi 2019 dan 2024, berkata kejohanan Super 1000 itu tidak pernah menjadi sasaran mudah, biarpun mereka berpengalaman dan pernah mencatatkan keputusan cemerlang.
Ini katanya adalah disebabkan oleh keadaan dan persekitaran di Eropah yang sentiasa menuntut mereka menyesuaikan diri setiap tahun.
"Bukan mudah untuk menetapkan sasaran atau konsisten dengan permainan. Ia bukan mudah kerana apabila kami tiba di Eropah, banyak perkara yang perlu kami buat penyesuaian," katanya.
Dalam pada itu, Aaron mengakui kepentingan mengambil pendekatan seimbang antara latihan fizikal (conditioning) dan latihan di gelanggang.
Beliau berkata walaupun kakitangan kejurulatihan mempunyai perspektif mereka sendiri, juara dunia 2022 itu memahami penyesuaian yang diperlukan untuk meningkatkan tahap prestasi mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial