KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mengimpikan pertemuan antara anak buahnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu lelaki nombor satu dunia Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan pada final All England 2026 di Birmingham, Mac ini.
Herry optimis Aaron-Wooi Yik yang juga naib juara edisi 2019 dan 2024 memiliki peluang mengatasi juara bertahan itu sekiranya beregu lelaki nombor satu negara tersebut dapat mengulangi persembahan diperagakan pada final Terbuka Malaysia 2026, baru-baru ini.
“Apa yang pasti perlu lihat undian dahulu namun saya harap kedua-dua pasangan dapat berjumpa lagi di final dan (Aaron-Wooi Yik) ada peluang.
“Jika dilihat pada aksi final Terbuka Malaysia 2026, Aaron-Wooi Yik buat kesilapan mudah pada mata-mata akhir, jika situasi itu tidak berlaku keputusan pasti berbeza,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Pada 11 Jan lepas, pemenang dua kali pingat gangsa Sukan Olimpik itu tunduk kepada Won Ho-Seung Jae 15-21, 21-12, 18-21, pada aksi final Terbuka Malaysia 2026.
Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik tumpas dua kali dalam tiga pertemuan kepada pasangan nombor satu dunia itu.
Dalam pada itu, Herry berkata beliau memberi fokus menambah baik sesi latihan fizikal termasuk latihan kardio, kekuatan dan kepantasan menjelang Terbuka Jerman pada 24 Feb-1 Mac diikuti All England 2026 dari 3-8 Mac.
Beliau berkata respons daripada pemain beregu lelaki negara juga positif terhadap perubahan dilakukannya dalam sesi latihan fizikal dikendalikannya.
“Sejak saya menambah baik sesi latihan fizikal, saya lihat pemain lebih semangat untuk persediaan All England kali ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial