SUKAN > BERITA

SIVASANGARI, AIRA, EAIN YOW MARA PUSINGAN KEDUA TERBUKA WINDY CITY

06/02/2026 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Tiga pemain skuasy negara -- S. Sivasangari, Aira Azman dan Ng Eain Yow -- memulakan kempen Kejohanan Terbuka Windy City 2026 di Chicago, Amerika Syarikat, dengan langkah meyakinkan, semalam.

Sivasangari yang juga pilihan keenam mara ke pusingan kedua perseorangan wanita kejohanan bertaraf Platinum itu selepas hanya mengambil masa 41 minit untuk menewaskan pemain Belgium, Nele Gilis, 11-8, 11-7, 11-8 di University Club of Chicago.

Pada pusingan kedua, Sivasangari bakal berdepan wakil Mesir, Kenzy Azman, yang sebelum itu menyingkirkan rakan senegara Nour Aboulmakarim 11-7, 11-7, 11-9.

Sementara itu, Aira turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi pemain England, Torrie Malik 11-9, 11-3, 8-11, 14-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit.

Aira seterusnya dijadualkan bertemu pilihan keempat dari Amerika Syarikat, Olivia Weaver, yang menewaskan Grace Gear dari England 11-6, 11-9, 11-3.

Bagaimanapun, Rachel Arnold tersingkir awal apabila tewas kepada pilihan kelima dari Jepun, Satomi Watanabe 9-11, 9-11, 11-9, 4-11.

Dalam kategori lelaki, Ng Eain Yow tidak berdepan masalah menundukkan wakil Switzerland, Nicolas Mueller 11-6, 11-5, 11-9 pada pusingan pertama.

Eain Yow bakal berdepan pilihan kedua dari New Zealand, Paul Coll bagi merebut tempat ke suku akhir selepas Coll menewaskan pemain Mexico, Leonel Cardenas 11-6, 11-9, 11-5.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan