SUKAN > BERITA

TFC PULANG DENGAN TIGA MATA DI STADIUM SELAYANG

07/03/2026 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Terengganu FC (TFC)  membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors(TRW) 2-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Terengganu terlebih dahulu mengancam pada minit ke-13 menerusi penyerang mereka, Gervane Kastaneer namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol, Damyan Valeriy Damyanov.

Terengganu kemudian menggandakan asakan melalui gandingan Panshanbe Ehsoni kapten Raianderson Da Costa Morais tetapi peluang itu gagal disudahkan dengan baik.

Pada minit ke-31, Kastaneer sekali lagi memperoleh peluang menjaringkan gol melalui rembatan dari luar kotak penalti, namun masih belum menemui sasaran.

Secara keseluruhan, babak pertama menyaksikan Terengganu menguasai permainan, manakala Kelantan gagal menghasilkan sebarang percubaan berbahaya.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu terus meningkatkan tekanan dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-58 apabila Kastaneer menolak masuk bola dari jarak dekat selepas menerima hantaran pendek rakan sepasukan tanpa kawalan ketat.

Kelantan akhirnya mencatatkan percubaan tepat pada minit ke-80 melalui kapten Muhammad Nor Azam Abdul Azih namun rembatan jarak jauhnya gagal menepati sasaran.

Terengganu mengesahkan kemenangan dengan gol kedua pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mabatshoev pada minit ke-90+5.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan