SUKAN > BERITA

LIGA SUPER: NSFC TUNJUK PENINGKATAN POSITIF - K. RAJAN

08/03/2026 03:04 PM

SEREMBAN, 8 Mac (Bernama) -- Ketua Jurulatih Interim Negeri Sembilan FC (NSFC) K. Rajan berkata pasukannya menunjukkan peningkatan dalam dua perlawanan terakhir meskipun terlepas peluang meraih kemenangan selepas gawangnya dibolosi pada minit akhir perlawanan, malam tadi.

Beliau berkata secara keseluruhan NSFC mempamerkan aksi yang baik dengan mencipta banyak peluang jaringan, namun kegagalan menyempurnakan peluang tersebut memberi ruang kepada pihak lawan untuk bangkit.

“Kami bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang tetapi tidak berjaya menterjemahkannya kepada gol. Jika dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini, saya rasa permainan kami bertambah baik terutama di bahagian pertahanan.

“Meskipun mendahului, namun perkara seperti ini kadang-kadang berlaku dalam bola sepak, kita tidak boleh menjangka sepakan penalti itu kerana ia bergantung kepada keputusan pengadil, bagaimanapun kita kena fokus hingga wisel penamat, itu perlu diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan Skuad Jang meraih satu mata selepas terikat dengan Penang FC 3-3 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat memperoleh sepakan penalti pada penghujung permainan yang berjaya disempurnakan Stefano Brundo, sekali gus memadamkan harapan NSFC untuk meraih kemenangan.

Dengan keputusan itu, NSFC kekal berada di tempat ketujuh dengan 19 mata manakala Penang FC di kedudukan kelapan dengan jumlah mata yang sama.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail memuji semangat juang pemainnya yang tidak berputus asa sehingga minit akhir untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam perlawanan tersebut.

“Sedikit kelalaian menyebabkan kami dihukum dengan dua gol daripada NSFC..untuk menang lebih-lebih lagi bermain di tempat lawan, ia bukan mudah, apabila kita sudah mendahului, pemain perlu mengekalkan kelebihan itu dan mengawal permainan,” katanya.

Beliau berkata baki enam perlawanan yang tinggal dalam liga amat penting bagi Penang FC untuk memperbaiki kedudukan dalam carta.

“Setiap perlawanan selepas ini sangat penting, walaupun saya sedikit kecewa hari ini, namun pada asasnya saya bersyukur kerana daripada kehilangan mata, kami masih memperoleh satu mata dan dapat merapatkan jurang dengan pasukan di atas (kedudukan liga),” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan