KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berpeluang membawa pulang pingat emas selepas berjaya mara ke separuh akhir acara pecut elit wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2026 (ACC) di Tagaytay, Filipina, hari ini.
Bagaimanapun, cabaran getir bakal menanti pelumba berusia 23 tahun itu apabila beliau dijadual menentang juara dunia Keirin dua kali, Mina Sato dari Jepun dalam Pusingan 1 separuh akhir esok.
Sementara itu, Pusingan 2 menyaksikan pertembungan antara Yuan Liying dan Wang Lijuan, kedua-duanya dari China.
Menurut format pertandingan, pemenang setiap pusingan akan layak ke perlawanan akhir bagi merebut pingat emas, manakala yang kecundang bakal bersaing merebut pingat gangsa, yang turut diadakan esok.
Terdahulu, Nurul Izzah Izzati mempamerkan prestasi cemerlang selepas menewaskan rakan senegara, Nur Alyssa Mohd Farid 2-0, manakala Mina juga meraih kemenangan 2-0 menumpaskan Cho Yiu Yeung dari Hong Kong, pada pusingan suku akhir.
Sementara itu, kem lelaki mengalami kekecewaan apabila Muhammad Ridwan Sahrom tersingkir seawal pusingan 16 kategori pecut elit lelaki selepas tewas kepada pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit, yang juga bekas juara Sukan Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial