SUKAN > BERITA

HARIMAU MALAYA SIAP SEDIA HADAPI VIETNAM - CKLAMOVSKI

30/03/2026 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski yakin Harimau Malaya bersedia sepenuhnya untuk menghadapi ujian getir menentang Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Nam Dinh malam esok.

Cklamovski berkata para pemain bersedia menyahut cabaran walaupun berdepan lawan berkualiti di gelanggang mereka.

“Kami datang ke sini dengan persiapan rapi bersedia untuk menghadapi perlawanan sukar menentang lawan yang sangat baik. Kami menantikan cabaran itu dan akan melakukan segala yang termampu untuk mencatat kemenangan,” katanya pada sidang media praperlawanan hari ini.

Pengendali dari Australia itu bagaimanapun mengakui pasukan masih terkesan dengan keputusan terbaharu melibatkan sekatan FIFA serta pemotongan mata yang dikenakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), yang menjejaskan peluang Malaysia untuk melayakkan diri.

“Dengar sini, sangat jelas untuk mengatakan bahawa kami kecewa dengan keputusan itu dan amat kecewa kerana sesuatu yang sepenuhnya di luar kawalan kami telah menjejaskan peluang untuk layak tetapi sekali lagi, bagi memudahkan keadaan kami, kami mengawal apa yang boleh kami kawal, cara kami berlatih, cara kami beroperasi sebagai pasukan kebangsaan.

“Dalam waktu sukar, ia memberi anda peluang yang sangat baik untuk mengukur diri anda sebagai lelaki, sebagai satu kumpulan, sebagai pasukan kebangsaan. Kem latihan kali ini, saya harus katakan saya amat bangga dengan para pemain dan kakitangan serta komitmen yang mereka miliki,” katanya.

Cklamovski berkata Malaysia akan mengekalkan mentaliti kemenangan tanpa mengira keadaan ketika mereka berhasrat menamatkan kempen dengan keputusan yang membanggakan.

Beliau berkata perlawanan itu juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menamatkan rekod panjang tanpa kemenangan menentang Vietnam di tempat lawan, yang berlanjutan lebih sedekad.

“Kami sentiasa mempunyai mentaliti untuk memenangi perlawanan seterusnya tidak kira menentang siapa dan dalam apa jua keadaan. Itu tidak berubah malam esok.

“Pada masa sama, Malaysia tidak menewaskan Vietnam di tempat lawan selama lebih 12 tahun atau lebih kurang begitu, jadi ada sesuatu yang perlu dikejar di situ. Ia satu cabaran dan kami melakukannya melalui bola sepak kami,” katanya.

Malaysia kali terakhir mencatat kemenangan di tempat lawan ke atas Vietnam dengan kemenangan 4-2 pada perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan AFF 2014 di Hanoi.

Sementara itu, pemain pertahanan Dion Cools menyuarakan sentimen sama seperti jurulatihnya dengan menekankan tekad skuad menjelang pertemuan penting itu.

“Kami sentiasa tahu ia perlawanan sukar menentang Vietnam, jadi para pemain lebih bermotivasi. Pasukan telah berlatih dengan baik dan, ya, kami bersedia untuk mengharungi perlawanan yang baik esok,” katanya.

Harapan Malaysia untuk beraksi pada Pusingan Akhir Piala Asia berdasarkan merit buat kali kedua berturut-turut musnah selepas dikenakan potongan enam mata oleh AFC.

Vietnam, yang telah layak ke Pusingan Akhir Piala Asia 2027, mendahului Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Malaysia di tempat kedua dengan sembilan mata. Laos dan Nepal masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat dengan tiga mata.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan