Meletusnya pandemik COVID-19 di Malaysia pada awal Februari 2020 bukan sahaja merubah gaya hidup masyarakat namun membawa perubahan ketara kepada corak kehidupan yang mengoptimumkan penggunaan teknologi.
Jika sebelumnya kita lebih selesa dengan proses sosial dan kebudayaan tempatan, secara sekelip mata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 bermula 18 Mac 2020 adalah titik tolak menjadikan konsep kehidupan rakyat Malaysia terutamanya yang bekerja secara sepenuh masa atau tidak meneruskan urusan kerja harian secara maya.
Norma baharu yang bebeza daripada kebiasaan yang ada telah berubah dan perkara ini tidak pernah terlintas di fikiran masyarakat. Bekerja dari rumah secara tidak langsung sebenarnya telah memungkinkan perkara di luar kebiasaaan berlaku.
Bereksperimen dengan teknologi
Jika teknologi pengajaran yang sebelum ini digunakan secara tidak sepenuhnya, kini konsep capaian internet, keupayaan mengakses, kepelbagaian media, ketertarikan bahan dan keupayaan pelajar menerima maklumat pengajaran melalui teknologi telah menjadi kerisauan dalam kalangan akademik amnya.
Oleh yang demikian, aspek teknologi pengajaran telah digunakan secara sepenuhnya seperti medium Online Learning. Bukan setakat itu sahaja, perkara berkaitan komunikasi secara maya lebih bersifat urusan kerja telah dioptimakan penggunaannya.
Kakitangan akademik perlu mempunyai motivasi dalaman yang tinggi dalam mengejar dan melengkapkan kemahiran penggunaan teknologi yang sedia ada atau yang masih baharu seperti penggunaan Zoom, Webex, Google Classroom dan pelbagai platfom media terkini yang boleh diaplikasikan.
Melalui teknologi ini secara amnya, proses mereka bentuk dokumen pengajaran, proses merekaletak audio/visual menjadi lebih berkesan dan proses penilaian kursus juga di bawah kendalian kakitangan akademik.
Tiada lagi alasan “saya tidak pandai menggunakan teknologi dalam pengajaran” atau “saya selesa dengan pengajaran bersemuka” kerana perubahan sikap perlu berlaku bagi memungkinkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung sepanjang tempoh pengkuliahan.
Perubahan sikap seterusnya jelas apabila perubahan proses sosial dalam proses bekerja dari rumah seperti pengurusan mesyuarat di semua peringkat telah dijalankan secara ringkas dan padat.
Jika dahulunya, mesyuarat secara bersemuka menjadi platform utama digunakan terutama yang melibatkan mesyuarat peringkat jabatan atau pusat pengajian, namun PKP memungkinkan segalanya.
Faktor masa dan kandungan mesyuarat menjadi lebih terarah dan bersasar selepas peralihan dari medium secara bersemuka kepada penggunaan teknologi komunikasi.
Ini menunjukkan perkembangan kaedah mesyuarat secara atas talian lebih berkualiti, tersusun dalam tertib dan terarah. Bercakap hanya yang perlu dalam talian adalah perkara asas yang dipertimbangkan oleh ahli mesyuarat memandangkan kualiti masa dan kualiti kandungan perbincangan.
Urusan bekerja dari rumah sebenarnya melihat impak yang besar dalam proses sosial masyarakat.
Aplikasi teknologi kunci komunikasi
Komunikasi adalah asas kepada perhubungan dan perkongsian makna. Komunikasi secara atas talian seperti WhatsApp, Instagram, Facebook, Telegram dan sebagainya akhirnya membuktikan signifikan kewujudan mereka dalam mengurangkan tekanan.
Kita masih boleh berinteraksi, bertanya khabar, bercerita, berkongsi pendapat dan pelbagai interaksi melalui dalam talian. Tidak dapat dibayangkan jika PKP ini dilaksanakan dengan tiada sebarang perhubungan maya yang memungkinkan kita berinteraksi.
Secara tidak langsung, perubahan sikap kepada aspek sosial tidaklah menjadi tekanan utama. Jika sebelum ini ada yang memilih untuk keluar dari group WhatsApp tertentu kerana dianggap sebagai gangguan privasi, namun PKP mengajar erti kesunyian dan memerlukan mesej interaksi sosial sebagai mengisi kekosongan berkenaan.
Penerangan menggunakan infografik adalah medium menarik yang dilihat telah digunakan sepanjang PKP berlangsung.
Infografik secara dasarnya adalah bertujuan menarik perhatian audiens berbanding teks penerangan yang panjang. Penerangan ringkas berserta grafik sebenarnya telah membantu dan memungkinkan pemahaman penerima secara lebih cepat dan tepat. Namun, perhatian kepada infografik ini perlu dilihat dari aspek tindakan individu jika ia melibatkan arahan dan bukan sekadar makluman.
Secara ringkas, walau apa pun perkembangan terkini dan bebanan tugas yang ada apabila perlaksanaan PKP, tindakan segera masyarakat yang bekerja dari rumah dilihat positif dalam membantu usaha pihak pengurusan mencapai matlamat organisasi.
Patuh arahan dan tingkatkan kepekaan supaya kita sama-sama menang membendung wabak ini. #kitajagakita.
-- BERNAMA
Dr Romlah Ramli merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM)