Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara menyaksikan perbahasan wakil-wakil rakyat yang merangkumi kepelbagaian pandangan dalam menangani pelbagai isu berkaitan tadbir urus negara. Di tengah-tengah perdebatan itu juga, pastinya tidak terlepas kritikan dalam pelbagai rupa; langsung, berlapik dan berbasa-basi.
Pada masa yang sama, hari-hari kita dimeriahkan dengan berbagai-bagai perbalahan di media sosial khususnya terkait pelbagai isu; gaya hidup, fesyen, muzik, filem dan seterusnya. Ada masanya perbalahan itu berakhir dengan tercuit hati, manakala ada masa yang lain masing-masing termakan hati.
Keseluruhannya, hubungan antara homo sapiens ini tidak terlepas daripada komunikasi. Satu aspek dalam komunikasi ini ialah soal kritikan. Sering kita dengar, walaupun tidak sebut sendiri, tentang keperluan memastikan kritikan yang diberikan itu bersifat membina, bukan menghina.
Lebih mudah membuat kenyataan berbanding benar-benar memupuk budaya yang sedemikian dalam masyarakat hari ini. Sekiranya kita melihat isu-isu kontroversi yang timbul dalam bulan Jun dan Julai 2020 sahaja kita dapat mengenal pasti dengan mudah sikap masyarakat berkaitan isu-isu tersebut yang terpecah.
Antaranya isu pemangsa rogol, vandalisme mural, persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen penggal ketiga, pengurangan yuran Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan seterusnya. Sangat jelas dirasai kehadiran kelompok yang boleh berbincang dengan rasional dan juga mereka yang terlalu emosional.
Justeru itu, penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit tentang seni mengkritik yang pernah ditonjolkan oleh nenek-moyang kita, tetapi sudah hilang hari ini.
Kritik menurut ilmuan rentas zaman
Karya Prof. Dato’ Dr Siddiq Fadzil terlalu menyerlah dalam membicarakan tentang budaya mengkritik dalam masyarakat Melayu. Buku-buku beliau seperti ‘Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat’ dan ‘Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan’ berulang kali mengutip puisi-puisi dan kebijaksanaan tradisional yang menggambarkan kritik sosial yang tajam, tetapi berhikmah.
Misalnya, kritikan mengenai kemestian agenda pencerahan, pembebasan dan perubahan bangsa. Dan perubahan tidak mesti berpusat pada pemerintah, sebaliknya orang Melayu percaya hatta orang kecil boleh melakukan perubahan ini. Idealisme ini terangkum dalam pantun tradisi Minang:
Nasi bungkus siap tersaji,
Buat hidangan makan siang;
Sejak tikus naik haji,
Banyak kucing yang sembahyang.
Beliau juga memetik beberapa karya yang menjadi bukti nyata dan praktikal dalam budaya mengkritik. Contohnya, karya Raja Ali Haji berjudul ‘Thamarat al- Mahammah’ yang mengkritik pemerintahan raja-raja ketika itu. Prof Siddiq menyebut, ”Raja Ali Haji mengingatkan makna raja bukan ‘… membuat apa sukanya di atas rakyatnya…’ tetapi merujuk pengertian tiga istilah politik Islam: khalifah, sultan dan imam.”
Sajak Sasterawan Negara, Usman Awang, berjudul ‘Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar’ adalah satu kritik tajam terhadap penghinaan maruah, begitu juga sajak ‘Di Negeri Amplop (envelope)’ karya KH Hasan Bisri, tokoh dakwah Indonesia, yang menyindir gejala rasuah yang berleluasa di negara Garuda Pancasila itu.
Banyak lagi karya-karya dan khazanah kebijaksanaan yang wajar untuk diteliti. Apatah lagi oleh generasi belia. Lantang mengangkat isu segala macam. Mendakwa begitu banyak masalah sosial yang mesti diselesaikan. Pun begitu, jika gagal membaca karya-karya asas ini. Jangan disalahkan orang lain sekiranya belia ditunding sebagai generasi merengek.
Kritik mesti berdiri atas rasional
Kesilapan umum dalam mengkritik adalah apabila kritikan dibuat secara pramatang. Sebaik sahaja selesai membaca satu siaran Facebook atau petikan video yang tular, terus kita mengutarakan kritikan. Lebih parah apabila kita membiasakan sikap mengkritik tanpa usaha mencari hujung pangkal sesuatu isu.
Perangai ‘tak tahu betul atau tak, tapi kalau betul...’ inilah yang menjadi punca penularan berita palsu dan maklumat tidak tepat sukar dibendung. Tak pasti jangan kongsi. Kalau nak tahu, buat carian lebih mendalam dahulu. Jangan cepat sangat dipanjangkan atau berkongsi maklumat separuh masak.
Dalam ruang yang terbatas ini, ayuh kita teliti perbahasan mengenai isu vandalisme mural sebagai contoh dan subjek kajian kes ringkas. Tujuannya adalah untuk memberikan ilustrasi jelas mengenai soal bagaimana mendekati sesuatu isu dan mengkritik isu tersebut.
Ada dua pandangan yang ketara dalam hal ini. Pihak A merupakan satu pihak jelas menyalahkan tindakan individu yang menconteng mural tersebut manakala pihak B pula membangkitkan persoalan mengenai keperluan melukis gambar pemimpin negara tersebut di tempat awam sedemikian.
Sekurang-kurangnya kita boleh bersetuju mengenai faktor sensitiviti isu vandalisme mural ini adalah kerana potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijadikan sasaran perilaku tidak senonoh ini. Kita juga boleh bersetuju berkenaan sikap kita terhadap tindakan vandalisme atas tujuan apapun, oleh sesiapapun, ke atas objek apapun adalah salah dan wajar dihukum.
Tetapi kita dapat lihat, pihak A mendakwa pihak B tidak peka kepada isu vandalisme yang menjadi punca kontroversi. Manakala pihak B mendakwa pihak A tidak peka kepada faktor penyumbang isu berbangkit. Maka berlakulah lawan kritik yang tidak berkesudahan.
Sebagai nota untuk manfaat pembaca, ‘penyumbang kecuaian’ merupakan teori perundangan yang diterima pakai secara meluas. Maksudnya, mangsa juga turut menanggung tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pemangsa sekiranya mangsa sendiri cuai menjaga kepentingan sendiri. Implikasinya, dikurangkan nilai pampasan yang boleh dituntut mangsa.
Berbalik kepada isu tadi, apa yang berlaku sebenarnya ialah isu dan hujah kedua-kedua pihak tidak bertembung. Isu yang dibangkitkan kedua-duanya adalah sah. Bagaimanapun, skop isu yang dibangkitkan daripada isu yang sama itu nyata berbeza; isu vandalisme dan isu faktor yang memungkinkan vandalisme terhadap potret pemimpin negara.
Maka dalam hal ini, pertamanya kita perlu jelas mengenai aspek manakah dalam perbahasan yang ingin disentuh. Fokus kepada isu, jangan dicampur-aduk dengan perkara luar daripada isu.
Kedua, sentiasa amalkan ‘kemungkinan kita salah, orang lain betul’. Supaya kita lebih prihatin dalam berpendapat dan lebih teliti mengumpulkan maklumat dan data yang tepat dalam berhujah.
Ketiga, hormat hak untuk menjawab. Sepertimana kita ada ruang untuk bersuara dan membuat konklusi, orang lain juga mempunyai hak untuk memberikan respons kepada konklusi yang dibuat itu.
Keempat, hormat hak untuk didengari. Jika kita mahu pandangan kita didengari secara penuh tanpa bias. Kita juga perlu lakukan perkara yang sama.
Kelima, pastikan aturan rasional yang jelas. Setiap perkara yang dibangkitkan mesti berasas; faham asas hujahan. Asas keprihatinan pihak A ialah vandalisme, maka sudut perbincangannya ialah perihal jenayah. Asas keprihatinan pihak B ialah soal perancangan, maka sudut perbincangannya ialah mengurus risiko. Yang demikian, jangan cepat mendakwa orang lain salah.
Bersetuju untuk tidak bersetuju
Kebijakan demokrasi ialah ianya bukan memenangkan pendapat majoriti secara mutlak. Sebaliknya, demokrasi mengutamakan pandangan majoriti. Sekiranya, pandangan itu salah, maka terbuka untuk beralih pula kepada pandangan minoriti kerana yang mustahak ialah menyelesaikan isu berbangkit.
Demokrasi merupakan sistem yang menawarkan penyelesaian mengurus perbezaan pandangan melalui instusi-institusi kerakyataan yang diwujudkan. Antara dua pilihan yang kedua-duanya baik, yang mana lebih baik.
Jangan dihalang orang yang mahu berdebat, tetapi halang mereka yang memberi ancaman kepada budaya debat yang sihat. Silakan mengkritk, tetapi bertanggungjawab dengan kritikan tersebut. Dalam erti kata lain, kita terbuka mengkritik dan juga mesti terbuka dikritik.
-- BERNAMA
Irfan Faruqi ialah Pengacara Darah Muda BERNAMA TV