TINTA MINDA

HAK DAN ETIKA PENTERJEMAH DI MALAYSIA

30/09/2020 01:24 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

(Bersempena Hari Terjemahan Antarabangsa yang disambut pada 30 September setiap tahun)

Oleh: Mohamad Letfee Ahmad

Persoalan mengenai hak dan etika penterjemah di negara ini tidak pernah menemui jawapan pasti meskipun bidang terjemahan telah bertapak sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Namun sehingga kini hak dan etika penterjemah yang seragam belum lagi diwujudkan walaupun usaha ke arah itu telah banyak dilakukan.

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pernah menganjurkan seminar terjemahan pada 2012 yang turut membincangkan enam kertas kerja termasuk beberapa tajuk berkaitan isu hak dan etika penterjemah. Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah “Memahami Hak Penterjemah, Hak Cipta dan Etika Dalam Penterjemahan” dan “Harta Intelek, Akta Hak Cipta dan Keperluan Pengawasannya”.

Menyedari bahawa isu hak dan etika penterjemah amat penting dalam memartabatkan profesion penterjemahan, makalah ini ditulis bagi melihat kemungkinan bagaimana usaha mewujudkan etika yang seragam untuk penterjemah dapat dilaksanakan.

Ciri-ciri Penterjemah yang Baik

Penterjemah mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran dengan tepat dari segi makna, baik dan bermutu dari segi bahasa dan mudah difahami oleh khalayak sasaran serta lancar dan bersahaja dari segi pengungkapan.

Banyak yang beranggapan bahawa sesiapa sahaja yang menguasai dua bahasa atau lebih boleh menterjemah. Namun penterjemah yang profesional memerlukan kemahiran bahasa yang spesifik, pengetahuan komputer dan teknologi maklumat yang berkaitan, pengetahuan budaya yang luas dan mempunyai daya usaha yang kuat untuk terus meningkatkan kemahiran diri dalam semua aspek ilmu dan bidang penterjemahan.

Penterjemah yang baik mesti mempunyai ciri-ciri berikut:

  • menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran sebaik mungkin termasuk segala aspek linguistik bahasa sumber (khususnya aspek semantik) sehingga keupayaan mengungkapkan terjemahan ke dalam bahasa sasaran yang betul dan tepat dari segi semantik, tatabahasa dan diksi serta pengungkapan yang bersahaja dan lancar.
  • mengetahui selok-belok menterjemah, dari segi teori dan amali, melalui ilmu yang formal.
  • mengetahui dan memahami (kalaupun tidak menguasai) subjek/bidang/genre yang diterjemah.
  • mengetahui segala aspek budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran.
  • mempunyai rasa tanggungjawab/peka terhadap maksud yang mahu disampaikan oleh teks sumber.
  • minat dan komited dalam kerja terjemahan.
  • mempunyai disiplin diri yang tinggi dan menepati waktu menyiapkan hasil terjemahan.
  • mempunyai pengetahuan am yang luas.

Mana lebih penting, ilmu atau pengalaman?

Hakikatnya, kedua-duanya perlu ada! Namun penterjemah yang melakukan terjemahan melalui pengalaman tanpa ilmu yang khusus/formal terlebih dahulu, masih boleh menghasilkan terjemahan yang baik kerana pengalaman mengajar seseorang penterjemah menjadi lebih berhati-hati, lebih peka, lebih bersahaja, lancar dan kurang kaku dari segi pengungkapan.

Ilmu yang lebih formal dari aspek teori dan amali penterjemahan pula memperlengkap seseorang penterjemah dengan selok-belok penterjemahan. Ini termasuk kaedah dan proses/tatacara menterjemah, apa yang “boleh” dan yang “tidak boleh” berdasarkan konteks sosial dan budaya, pendedahan kepada persekitaran teknologi seperti penggunaan alat bantu elektronik yang dapat mempermudah dan mempercepat kerja-kerja menterjemah.

Hak Penterjemah

Jika penulis mempunyai hak terhadap karyanya, penterjemah pula mempunyai hak terhadap karya terjemahan yang dihasilkan/diterbitkan. Jika nama penulis ditulis pada hasil karya, nama penterjemah juga mesti dipaparkan pada karya/terbitan berkenaan sebagai penterjemah. Jika tidak, nama penterjemah harus disebut pada mana-mana bahagian penghargaan hasil terjemahan berkenaan.

Namun hak ini tidak terpakai sekiranya penterjemah diupah oleh mana-mana badan/penerbit atau terjemahan yang dihasilkan itu ditugaskan oleh badan yang dipertanggungjawabkan, misalnya agensi, penerbit atau persatuan profesional.

Selain hak yang utama itu, seorang penterjemah profesional juga mempunyai hak lain seperti berikut:

  • berhak menerima atau menolak sebarang tugas terjemahan.
  • berhak meminta semua dokumen yang diperlukan untuk melakukan kerja terjemahan itu.
  • Jika terjemahan dilakukan secara berkumpulan, semua penterjemah mempunyai hak sama terhadap karya terjemahan itu termasuk meletakkan nama pada teks sasaran.
  • berhak menolak kerja yang tidak setaraf dengan tahap profesionalisme seorang penterjemah.

Etika Terjemahan di Malaysia

Tidak seperti bidang penulisan lain misalnya kewartawanan atau penyiaran, bidang penterjemahan belum lagi mempunyai kod etika yang seragam. Apa yang ada hanyalah garis panduan yang ditetapkan oleh organisasi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam bidang ini bagi tujuan mengawal selia penterjemah yang melaksanakan tugas untuk mereka.

Organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) serta unit terjemahan di syarikat penerbitan swasta dan institusi pengajian tinggi awam misalnya mempunyai garis panduan mereka sendiri dalam memastikan penterjemah melaksanakan tugas mereka dengan baik dan sempurna.

Selain itu, penterjemah bergerak dengan etika yang mereka cipta sendiri bagi memastikan mereka diterima sebagai pengamal industri yang bertanggungjawab.

Prinsip Asas Etika Penterjemahan

Sebagai warganegara Malaysia, penterjemah haruslah mematuhi undang-undang negara yang berpaksikan perlembagaan serta mendukung prinsip Rukun Negara. Inilah prinsip asas etika penterjemahan.

Dalam merangka etika untuk penterjemah, beberapa faktor perlu dipertimbangkan agar etika tersebut dapat merangkumi semua aspek profesion penterjemahan. Antaranya:

  • membantu negara mencapai aspirasi nasional melalui karya terjemahan
  • melaksanakan tugas berpandukan undang-undang negara dan Islam
  • memastikan pemilihan bahan untuk terjemahan dapat menyumbang kepada pembinaan mental, kerohanian dan fizikal negara
  • menolak kerja yang boleh memecahbelahkan negara dan menimbulkan ketegangan kaum dan agama
  • mengelak unsur plagiarisme
  • mengelak perlakuan memberi atau menerima rasuah untuk mendapatkan kerja terjemahan
  • menjaga adab peribadi dan profesional
  • menghormati dan menyimpan rahsia pelanggan
  • menolak harga rendah bagi menjaga harga pasaran industri penterjemahan.
  • menolak kerja yang menjejaskan kredibiliti penterjemah.

Profesion penterjemahan perlu bernaung di bawah satu badan khusus yang dapat mengawal selia industri penterjemahan keseluruhannya. Badan ini boleh berbentuk sebuah majlis yang dianggotai oleh organisasi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam bidang penterjemahan seperti DBP, ITBM dan PPM.

Selain isu etika, majlis ini juga boleh menetapkan kadar bayaran standard untuk setiap kerja terjemahan bagi menjamin industri ini diterima sebagai satu sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan tertubuhnya majlis ini, usaha untuk mewujudkan satu Dasar Penterjemahan Negara bolehlah digerakkan secara bersepadu. Dasar ini perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan kemudian dijadikan akta yang mungkin dinamakan sebagai Akta Terjemahan sebagai platform untuk memartabatkan industri terjemahan negara dan menjadikannya sebagai aktiviti ekonomi yang turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-- BERNAMA

Mohamad Letfee Ahmad ialah editor di Jabatan Pengarang, BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)