TINTA MINDA

S.M.A.R.T TANGANI BULI: PERKUKUH KOMUNIKASI IBU BAPA DAN GURU

17/09/2025 11:30 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Sufiean Hassan

Data yang dilaporkan daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) menunjukkan trend peningkatan kes buli di sekolah, pada tahun 2022 sebanyak 3887 kes buli direkodkan meningkat kepada 4994 kes pada tahun 2023.

Sehingga Oktober 2024, hampir 6,000 kes buli di sekolah dilaporkan di seluruh Malaysia. Isu ini semakin kronik, apabila negara digemparkan dengan kes buli bukan sahaja mendatangkan kecederaan, malah dilaporkan menyebabkan kehilangan nyawa sehingga meruntun emosi hampir 30 juta rakyat Malaysia.

Pelbagai tindakan strategik telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani isu buli di sekolah dengan mewujudkan aduan buli melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA), aduan kes buli melalui portal Aduan Buli, e-mel kepada pihak KPM, talian telefon, aplikasi WhatsApp dan kementerian dijangka meningkatkan jumlah Guru Kaunselor di setiap sekolah jika, trend buli dilaporkan meningkat.

Tidak sekadar KPM, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut mengambil pendekatan tegas dalam menangani isu buli melalui penguatkuasaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025.

Kedua-dua pindaan ini telah diluluskan di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara pada tahun 2024, sebelum diwartakan untuk pelaksanaan. Pindaan tersebut memperkenalkan peruntukan khusus bagi kes buli termasuk buli siber, sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil dengan lebih pantas dan tegas terhadap pelaku.

Selain itu, pelaksanaan pindaan ini memperkemas prosedur perundangan dan meningkatkan kecekapan proses keadilan jenayah agar selaras dengan cabaran baharu dalam landskap jenayah moden, memastikan sistem perundangan negara lebih responsif dan berkesan dalam membanteras budaya buli.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga bersedia mengadakan dialog bersama KPM bagi mengatasi kes buli melalui program sukan tempur, di mana pelajar diberi kemahiran mempertahankan diri dalam menghadapi situasi buli. Sukan tempur bukan sahaja membina kekuatan mental dan fizikal, malah membentuk disiplin serta jati diri dalam kalangan pelajar, di samping melatih mereka mengawal emosi.

Pelbagai tindakan strategik di peringkat kementerian sedang giat dijalankan, namun laporan kes buli di sekolah dilihat semakin meningkat. Tambahan pula dengan adanya medium media sosial video-video buli yang dimuat naik kerap mendapat perhatian netizen. Di manakah ruang yang perlu penambahbaikan?

Strategi S.M.A.R.T – Pelan Strategik Tangani Buli di Sekolah

Strategi ini menuntut penglibatan ibu bapa secara efektif bersama warga sekolah bagi menangani isu buli di sekolah.

Masyarakat perlu sedar, tanggungjawab mendidik pelajar bukan terletak kepada pihak sekolah, khususnya kepada guru semata-mata, malah penglibatan proaktif ibu bapa dalam aktiviti sekolah dan mewujudkan komunikasi efektif bersama guru adalah asas kepada pembinaan sahsiah pelajar yang berakhlak mulia dan beradab tinggi sehingga membentuk keperibadian positif.

S: Support & Supervise

Sokong dan pantau - Ibu bapa mesti memberi sokongan yang tinggi terhadap semua aktiviti sekolah dan terlibat secara langsung dalam mesyuarat PIBG. Sokongan ini memberi mesej jelas bahawa ibu bapa prihatin dan serius memantau penglibatan anak-anak di sekolah dijangka mengekang tindakan anak-anak terjerumus sebagai pembuli atau menjadi mangsa buli.

Penglibatan aktif ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sukarela, malah memperkukuh hubungan mereka dengan pembangunan sekolah. Sokongan ini memberi mesej jelas bahawa ibu bapa yang aktif dalam PIBG sentiasa memantau penglibatan anak-anak di sekolah.

Secara tidak langsung, ia juga menjadi amaran kepada pelajar lain bahawa sebarang perlakuan membuli tidak akan terlepas daripada perhatian dan pasti berdepan dengan hukuman.

M: Monitor & Manage Communication

Pantau dan urus komunikasi - Komunikasi yang aktif dengan guru, kaunselor dan pihak sekolah penting untuk mengesan aktiviti anak-anak di sekolah terutama bagi mengesan tanda-tanda awal buli.

Ibu bapa perlu menghubungi guru kelas secara rutin bagi mengetahui aktiviti anak-anak di sekolah dan jika berlaku salah laku, ibu bapa mesti bertindak segera hadir ke sekolah untuk membincangkan isu tersebut.

Jika sebelum ini, ibu bapa ke sekolah untuk menerima laporan pencapaian akademik sahaja, kini ibu bapa mesti proaktif dan bertanggungjawab terhadap perkembangan akademik dan sahsiah pelajar dengan membentuk komunikasi efektif bersama guru-guru di sekolah.

A: Actively Engage in School Activities

Libat diri secara aktif - Ibu bapa disarankan untuk menyumbang kepakaran, kebolehan dan keupayaan dalam menjayakan aktiviti sekolah. Bagi ibu bapa yang mempunyai akses kepada penceramah motivasi, fasilitator yang mampu meningkatkan keyakinan dan pengurusan emosi anak-anak serta mempunyai keupayaan mencari penaja dalam menjayakan program motivasi amat digalakkan berhubung dengan pihak sekolah untuk membantu pembentukan sahsiah dan keperibadian anak-anak.

Di samping itu, penglibatan aktif ibu bapa dalam aktiviti sekolah memberi manfaat berganda. Bagi pihak sekolah, ia membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif melalui sokongan moral, logistik dan idea baharu.

Bagi anak pula, kehadiran ibu bapa dalam program sekolah memberikan dorongan emosi yang kuat, meningkatkan keyakinan diri dan mengurangkan risiko menjadi mangsa atau pelaku buli kerana mereka sedar ibu bapa sentiasa memantau perkembangan mereka.

R: Recognise Warning Signs

Kenal pasti tanda amaran - Ibu bapa perlu peka terhadap sebarang perubahan emosi, prestasi akademik, atau tingkah laku anak yang luar biasa. Kepekaan ini mesti disusuli dengan tindakan segera, termasuk berkomunikasi secara aktif dengan guru kelas, guru kaunseling, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar (GPK HEP) dan pengetua.

Jalinan komunikasi ini membolehkan pihak sekolah memberi maklumat tepat tentang situasi anak, manakala ibu bapa pula dapat berkongsi latar belakang atau faktor di rumah yang mungkin mempengaruhi tingkah laku mereka.

Kolaborasi ini adalah langkah intervensi yang lebih menyeluruh dan tepat dapat dilaksanakan, sama ada dalam bentuk bimbingan kaunseling, sokongan akademik, atau pemantauan disiplin yang berterusan.

T: Team Up with Teachers

Bekerjasama dengan guru - Kerjasama erat dengan guru dalam memantau perkembangan anak dan membincangkan strategi pencegahan adalah kunci untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan harmoni.

Kerjasama ini bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian kurikulum dan kokurikulum, malah merangkumi usaha memastikan perkembangan emosi yang sihat bagi anak-anak. Ibu bapa yang sentiasa peka akan keperluan sekolah dan bersedia membantu pihak sekolah dalam mencapai objektif pendidikan turut memperkukuh hubungan dua hala yang positif.

Pendekatan ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan usaha berterusan untuk melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Apabila ibu bapa dan guru saling melengkapi peranan masing-masing, sekolah bukan sahaja menjadi pusat penyampaian ilmu, tetapi juga tempat membentuk sahsiah, kematangan emosi, dan kesejahteraan menyeluruh pelajar.

Strategi S.M.A.R.T ini membentuk komunikasi strategik sebagai benteng tangani isu buli, sekali gus membentuk generasi berakhlak mulia, beradab tinggi dan berkeperibadian positif.

Ayuh, mulakan hari ini – jadilah ibu bapa yang proaktif, berganding bahu dengan guru dan pihak sekolah kerana tindakan kita hari ini adalah penentu masa depan cemerlang anak-anak kita!

-- BERNAMA

Dr Mohd Sufiean Hassan ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka dan Yang Dipertua PIBG, SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)