Setiap tahun Malaysia meraikan sambutan bulan kemerdekaan dengan penuh kemeriahan dan semangat patriotik. Tanggal 31 Ogos 1957 menandakan detik bersejarah apabila negara mencapai kemerdekaan sepenuhnya daripada cengkaman penjajah. Peristiwa ini adalah hasil pengorbanan puluhan nyawa, tenaga masa dan wang yang tidak ternilai harganya. Sambutan ini memberi peluang kepada kita semua untuk merenung kembali serta menghargai erti sebenar sebuah negara merdeka, pengorbanan dan jasa pemimpin serta masyarakat terdahulu yang telah meletakkan asas kepada kemerdekaan yang kita nikmati hari ini. Ia menjadi titik pertemuan antara sejarah perjuangan dan aspirasi masa depan bangsa.
Hari ini, kepimpinan sering dinilai dari dua sudut utama iaitu populariti dan kredibiliti. Populariti mudah diukur dan cepat terlihat terutama dalam era digital yang mana media sosial dan platform komunikasi menjadi medan utama interaksi. Seorang pemimpin yang popular biasanya memiliki daya tarikan yang kuat dan mampu meraih sokongan luas dalam masa singkat. Namun, populariti bersifat dinamik dan berubah mengikut masa serta keadaan. Ia juga sangat dipengaruhi oleh naratif yang dibentuk media dan sentimen masyarakat yang boleh berubah-ubah.
Sebaliknya, kredibiliti membawa makna yang lebih mendalam dan berterusan. Ia menggambarkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap seorang pemimpin, berasaskan integriti, rekod prestasi, ketelusan dan konsistensi dalam tindakan. Kredibiliti bukan sesuatu yang mudah dibina kerana ia memerlukan kecekalan, masa dan usaha yang berterusan. Namun, ia menjadi asas kukuh bagi kepimpinan yang berkesan dan lestari dalam jangka panjang.
Sejarah kemerdekaan sendiri memberikan pengajaran yang amat bernilai tentang peranan kepimpinan yang berasaskan kredibiliti. Pemimpin awal negara tidak langsung bergantung kepada populariti. Mereka memfokuskan tanggungjawab dan komitmen terhadap pembinaan negara. Mereka memimpin dan membangunkan negara dengan prinsip yang jelas serta integriti yang utuh. Semangat jiwa merdeka mereka tidak hanya dipamerkan melalui kata-kata, tetapi juga tindakan berani yang berlandaskan nilai dan wawasan jauh ke hadapan. Ini adalah kepimpinan yang mengangkat martabat kemerdekaan sebagai satu amanah dan bukan sekadar pencapaian sejarah.
Kepimpinan hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Globalisasi, kemajuan teknologi dan tekanan sosial mengubah cara masyarakat menilai pemimpin. Populariti mudah diperoleh melalui kempen digital yang efektif, mesej yang menarik serta retorik yang tersusun. Namun persoalan utama ialah sejauh mana populariti ini disokong oleh kredibiliti dan keupayaan sebenar untuk membawa perubahan positif dan lestari kepada negara. Seorang pemimpin harus menyedari bahawa masyarakat dan negara adalah amanah yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab. Ini lebih penting apabila pemilihan pemimpin dilakukan melalui proses demokrasi yang mencerminkan suara rakyat.
Kepimpinan yang hanya berasaskan populariti tanpa sokongan nilai dan integriti yang kukuh akan menyebabkan kelemahan dalam membuat keputusan penting, terdedah kepada manipulasi dan akhirnya merugikan rakyat serta negara. Sebaliknya, pemimpin yang berasaskan kredibiliti mempunyai kelebihan untuk membuat keputusan yang sukar dan tidak popular tetapi berkesan untuk jangka masa panjang. Mereka memimpin dengan visi yang jelas dan mempunyai keberanian moral untuk menegakkan prinsip walaupun menghadapi tekanan.
Hari ini kita perlu ingat bahawa kemerdekaan sebenar bukan sahaja bebas daripada penjajahan kuasa asing tetapi juga bebas daripada budaya kepimpinan yang lemah, tidak bertanggungjawab dan berorientasikan populariti semata-mata. Semangat merdeka mengajak kita membina budaya politik dan sosial yang menghargai kredibiliti sebagai asas dalam memilih serta menyokong pemimpin. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti dipikul oleh semua lapisan masyarakat.
Kepimpinan yang berjiwa merdeka adalah kepimpinan yang berani memikul tanggungjawab terhadap masa depan bangsa. Ia tidak gentar menghadapi kritikan dan tidak goyah diserang dengan kutukan kerana berdiri teguh atas dasar ilmu pengetahuan dan nilai moral yang kukuh. Kepimpinan seperti ini mampu merapatkan jurang kepelbagaian masyarakat dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan, sekali gus membina institusi yang mantap serta menjamin pembangunan negara yang stabil dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.
Semangat patriotik juga perlu diterjemahkan melalui kepimpinan yang inklusif dan berdaya tahan. Pemimpin yang menghargai kemerdekaan bukan hanya memimpin untuk golongan tertentu tetapi untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang etnik, agama atau status sosial. Rasa empati terhadap pengorbanan pemimpin terdahulu menjadi pendorong bagi pemimpin masa kini agar kemerdekaan yang diwarisi menjadi milik bersama dan menjadi sumber kekuatan negara dalam menghadapi cabaran masa depan.
Bulan kemerdekaan mengajak kita merenung kembali nilai dan harapan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Memimpin dengan jiwa merdeka bukan sekadar slogan atau retorik semata tetapi satu realiti yang mesti diterjemah dalam kehidupan harian melalui pemilihan pemimpin yang berintegriti, berwawasan dan berprinsip. Kepimpinan sebegini akan memastikan kemerdekaan yang dicapai bukan hanya menjadi kenangan sejarah tetapi terus terpelihara dan berkembang secara berdaya tahan.
Hakikatnya, kepimpinan berjiwa merdeka adalah amanah yang memerlukan komitmen berterusan dan sokongan padu daripada seluruh rakyat. Semangat ini perlu dijadikan inspirasi kepada generasi kini dan akan datang untuk membina sebuah negara yang adil, makmur dan bermaruah. Kepimpinan bukan sahaja menjadi tunjang pembinaan bangsa tetapi juga penentu utama hala tuju pembangunan dan kestabilan negara. Ia adalah asas yang memastikan kemerdekaan yang diraih tidak hanya terhenti pada kata-kata tetapi hidup dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil.
Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa, Pensyarah Kanan (Profesor Madya), Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).