TINTA MINDA

TRANSFORMASI SEKOLAH MENENGAH BERPRESTASI RENDAH KEPADA SEKOLAH VOKASIONAL

10/03/2026 09:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Ts Dr Haryanti Mohd Affandi, Dr Shahrul Azman Abd Razak

Setiap tahun, apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, fokus lensa kamera dan media massa sering tertumpu kepada pelajar cemerlang yang memperoleh deretan A.

Kita meraikan kejayaan mereka dengan gembira.

Namun, di sebalik sorakan kejayaan itu, wujud satu realiti sunyi yang sering kita terlepas pandang iaitu nasib ribuan pelajar aliran perdana yang terkandas, gagal mendapat keputusan yang baik, atau sekadar lulus "cukup makan" termasuk golongan yang keluar dari sistem sebelum tamat tingkatan 5.

Bagi kumpulan ini, tamatnya SPM bukanlah penutup sebuah perjalanan, tetapi permulaan episod masa depan yang penuh ketidaktentuan seakan melangkah ke ruang yang gelap dan sunyi tanpa arah.

Realitinya, setiap pelajar memiliki kebolehan, gaya pembelajaran dan kekuatan kecerdasan yang berbeza.

Sesetengahnya lebih cemerlang dalam pembelajaran kinestetik atau hands-on.

Namun, pendekatan pengajaran semasa tidak mampu memenuhi kepelbagaian ini sepenuhnya.

Akibatnya, pelajar yang mempunyai potensi praktikal yang tinggi tetap dinilai melalui lensa kognitif semata-mata, lalu gagal mencapai keputusan yang mencerminkan kemampuan sebenar mereka.

Ini bukan sahaja menyebabkan mereka hilang minat terhadap sekolah atau tercicir daripada sistem, malah mereka juga terjun ke pasaran buruh tanpa sebarang "senjata".

Mereka terpaksa bergantung harap kepada ihsan majikan untuk memberikan latihan sambil bekerja (job shadowing).

Jika bernasib baik, mereka diterima.

Jika tidak, mereka menyumbang kepada statistik pengangguran belia negara.

Alangkah ruginya tenaga buruh muda negara dibiarkan hanyut tanpa kemahiran.

Jurang Penawaran dan Permintaan

Pada masa ini, permohonan untuk mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas tamat SPM dan setaraf menunjukkan peningkatan yang signifikan.

Daripada 395,870 pelajar keluaran tahun 2023, seramai 212,022 telah melanjutkan pengajian ke institusi TVET pada tahun 2024.

Mereka ditempatkan di 673 institusi TVET awam di bawah 12 kementerian, 28 institusi TVET awam kerajaan negeri serta 697 institusi TVET swasta.

Peratus permintaan meningkat daripada 43.55% pada tahun 2023 kepada 53.56% pada tahun 2024, sekali gus mencerminkan perubahan landskap aspirasi pendidikan negara.

Pada masa yang sama, permintaan terhadap tempat di Kolej Vokasional selepas tingkatan 3 juga semakin meningkat setiap tahun.

Ini berikutan semakin ramai ibu bapa dan pelajar memahami tentang potensi perkembangan kerjaya dalam bidang TVET.

Malangnya, jumlah 86 Kolej Vokasional tidak mencukupi untuk menampung permintaan ini kerana terdapat limitasi jumlah kuota pelajar untuk setiap program yang telah ditetapkan mengikut pendanaan yang di terima oleh kementerian.

Ketidakseimbangan ini menyebabkan ramai pelajar yang sebenarnya berbakat dalam kemahiran teknikal terpaksa "dikorbankan" ke sekolah aliran perdana.

Ini juga menyumbang kepada berlakunya keciciran sistem dalam kalangan pelajar menengah atas.

Walaupun jumlah pelajar keciciran sistem berkurangan dari 1.33% pada tahun 2020 kepada 0.63% pada tahun 2024 melalui inisiatif yang telah di jalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jumlah ini perlu di kurangkan secara lebih drastik bagi memastikan pelajar ini tidak hilang dari sistem.

Sehubungan itu, mentransformasi sekolah yang secara konsisten menunjukkan prestasi akademik rendah kepada Sekolah Vokasional merupakan langkah strategik untuk mengimbangi penawaran dan permintaan, mengurangkan keciciran serta menyediakan laluan alternatif yang lebih relevan kepada pelajar.

Langkah ini bukan bertujuan merendahkan kedudukan sekolah berkenaan, sebaliknya memberikan nafas baharu dan fungsi yang lebih responsif terhadap keperluan semasa pasaran kerja.

Transformasi ini bersesuaian dengan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 melalui Seksyen 32A yang baharu.

Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa setiap ibu bapa yang anaknya merupakan warganegara dan tinggal di Malaysia hendaklah memastikan anak itu didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan menengah serta kekal sebagai pelajar sepanjang tempoh pendidikan tersebut.

Bermaksud, pelajar yang berpotensi dalam bidang kemahiran teknikal akan lebih mendapat perhatian dan mempunyai ruang dan peluang untuk berkembang mengikut potensi diri melalui transformasi ini.

Strategi Pelaksanaan: Berfasa dan Kos Efisien

Pada masa kini, sebanyak 347 buah SMK menawarkan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan 12 buah SMK menawarkan Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) di Malaysia.

Dengan memperkenalkan Sekolah Vokasional dengan bidang High Growth High Value (HGHV) melalui transformasi sekolah berprestasi rendah, kita memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk bersinar dalam gelanggang yang sesuai dengan fitrah mereka.

Mereka tidak lagi perlu menunggu sehingga tamat SPM untuk mengendalikan kelengkapan dan peralatan industri sebenar kerana mereka boleh memulakan minat mereka lebih awal.

Tidak dinafikan, cadangan menaiktaraf fasiliti sekolah menengah biasa kepada Sekolah Vokasional melibatkan implikasi kewangan yang besar.

Kerajaan perlu menyediakan bengkel, makmal komputer berkuasa tinggi, peralatan kimpalan, dapur industri, dan pelbagai fasiliti khusus yang jauh lebih mahal berbanding bilik darjah biasa dengan papan tulis.

Ini adalah kekangan utama yang sering dibangkitkan oleh penggubal dasar.

Namun, kos ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk menidakkan keperluan transformasi ini.

Penyelesaiannya terletak pada strategi pelaksanaan secara berfasa. Kerajaan tidak perlu melakukan perubahan serentak di seluruh negara.

Projek rintis boleh dimulakan dengan memilih satu atau dua sekolah berprestasi akademik rendah di setiap daerah atau zon perindustrian.

Infrastruktur bangunan sedia ada di sekolah-sekolah ini boleh diguna pakai. Bilik darjah akan di ubahsuai menjadi bengkel.

Kos pengubahsuaian jauh lebih rendah berbanding membina Sekolah Vokasional baharu dari tanah kosong.

Selain itu, kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak industri melalui inisiatif kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership – PPP).

Syarikat-syarikat korporat boleh menaja peralatan bengkel di sekolah-sekolah ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, dengan jaminan bahawa mereka akan mendapat akses pertama kepada tenaga kerja mahir yang dihasilkan kelak.

Pada masa yang sama, sebanyak 697 Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) di Malaysia boleh bekerjasama dalam transformasi ini untuk berkongsi sumber, infrastruktur dan program melalui Sinergi TVET Awam-Swasta.

Perkongsian ini mampu membantu mengurangkan kebergantungan institusi terhadap dana kerajaan sekali gus memastikan pelajar yang dilahirkan adalah memenuhi keperluan semasa industri.

ILKS ini tidak seharusnya dilihat sebagai pesaing namun sebagai pelengkap dalam membangunkan sumber modal insan negara.

Menyelamatkan Modal Insan Negara

Kesimpulannya, mengekalkan status quo sistem pendidikan kita adalah satu risiko besar kepada masa depan negara.

Kita tidak boleh terus membiarkan ribuan pelajar gagal dan tercicir setiap tahun hanya kerana sistem kita terlalu kaku menilai kebijaksanaan berdasarkan gred kognitif semata-mata.

Mentransformasi sekolah menengah berprestasi rendah kepada Sekolah Vokasional adalah satu langkah berani dan pragmatik.

Ia menyelesaikan masalah pengangguran belia, memenuhi permintaan industri terhadap pekerja mahir, dan paling penting, ia mengembalikan maruah pelajar yang selama ini dianggap "gagal" oleh sistem akademik.

Kita perlu meraikan kepelbagaian bakat anak muda Malaysia.

Pelajar yang bijak teori, kita gilap menjadi cendekiawan.

Pelajar yang bijak kemahiran, kita asuh menjadi teknokrat dan tenaga mahir yang disegani.

Transformasi ini mungkin memakan belanja dan masa, tetapi pelaburan ke atas modal insan tidak pernah merugikan.

Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Malaysia melihat potensi besar di sebalik sekolah-sekolah yang selama ini dianggap "bermasalah" atau "lemah", dan mengangkat martabatnya menjadi institusi yang melahirkan tenaga kerja mahir bertaraf dunia.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Dr Haryanti Mohd Affandi ialah Ketua Kumpulan Penyelidikan Universiti Dinamika TVET, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr Shahrul Azman Abd Razak ialah Penganalisis Pendidikan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)