WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WCE BANTING-GELANG PATAH JADI ALTERNATIF, ATASI KESESAKAN PLUS - LOKE

02/11/2024 02:44 PM

TANGKAK, 2 Nov (Bernama) -- Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor bakal menjadi laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selain menyuraikan kesesakan trafik, projek dalam perancangan itu juga memberi kesan positif dalam memacu kemajuan di kawasan sepanjang laluan sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat. 

“Ia akan menjadi alternatif kepada PLUS kerana kita tahu bahawa PLUS terutamanya dari jajaran Johor Bahru ke utara atau Kuala Lumpur sentiasa sesak pada hujung minggu, kadangkala tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang begitu banyak. 

“Apabila jajaran baharu ini dibina ia juga akan memberi tempias kepada kawasan berhampiran pesisiran pantai yang membawa kepada pembangunan di kawasan baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bangunan Serba Guna di Sekolah Menengah Persendirian Pei Hwa di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Khairin-Nisa Ismail@Md On dan Pengetua Sekolah Menengah Persendirian Pei Hwa Ang Chee Boon.

Loke berkata antara kawasan yang dijangka menerima limpahan ekonomi daripada projek itu adalah Klang, Port Dickson, Melaka, Muar dan Batu Pahat. 

Beliau berkata projek lebuh raya itu juga akan menyumbang kepada pembangunan sektor logistik negara khususnya melibatkan dua pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.

“Sudah tentu PTP akan mendapat manfaat ekonomi apabila ada lebuh raya baharu malah ia menyokong penggunaan rel bagi aktiviti-aktiviti pelabuhan.

“Laluan itu bagaimanapun perlu diintegrasikan dengan pelbagai mod pengangkutan. Memang kita ada pelan pembangunan besar untuk masa depan,” katanya.

Ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan tahun depan.

Selain WCE, projek lain yang akan turut menggunakan pendekatan PPP adalah pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor serta Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang. 

Ketika ini satu-satunya lebuh raya yang menghubungkan Johor ke Lembah Klang bagi pengangkutan darat seperti lori, bas, kereta dan motosikal adalah PLUS yang mula dibuka sejak 1994.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan