WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELAN TINDAKAN UDARA BERSIH BAKAL DIMUKTAMADKAN BAGI MENANGANI ISU KUALITI UDARA

04/11/2024 06:04 PM

KUCHING, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Udara Bersih Kebangsaan 2025-2040 (NCAAP) yang bertujuan menangani cabaran berkaitan kualiti udara di negara ini, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Beliau berkata NCAAP yang dibangunkan daripada Pelan Tindakan Udara Bersih 2010 direka untuk meningkatkan kualiti udara ambien Malaysia dan berfungsi sebagai dokumen panduan untuk memacu usaha bersepadu dan menyeluruh ke arah mencapai kualiti udara yang lebih baik.

“NCAAP 2025-2040 melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, sektor swasta, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan lain-lain,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Aerosol Asia (AAC) ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan bandar berkembang pesat akibat pertumbuhan ekonomi, peningkatan populasi dan penghijrahan dari kawasan luar bandar ke bandar, mengakibatkan kepekatan aerosol yang tinggi.

Huang berkata peningkatan kepekatan aerosol atmosfera, terutamanya yang berpunca daripada pembakaran biojisim, bahan api fosil dan pelepasan industri telah menjadi isu iklim utama di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Dengan penyelidikan yang berterusan dan kerjasama antara saintis, penggubal dasar dan rakan antarabangsa, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai kemajuan penting dalam memahami dan menguruskan isu kompleks berkaitan aerosol,” katanya.

Sementara itu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata landskap geografi unik Sarawak menyediakan peluang untuk mengkaji kesan aerosol terhadap perubahan iklim dan proses atmosfera.

“Kami sedang giat bekerjasama dengan institusi penyelidikan antarabangsa untuk membangunkan strategi adaptasi iklim yang mengambil kira interaksi aerosol-iklim, yang penting untuk meramalkan corak hujan, kejadian cuaca ekstrem dan keadaan hutan,” katanya dalam teks ucapan perasmian acara berkenaan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Bertemakan ‘Mensinergikan Sains Aerosol, Teknologi, Polisi dan Amalan ke Arah Penyelesaian Mampan’, persidangan berkenaan menarik penyertaan lebih 400 saintis, pemimpin industri, agensi kerajaan dan pembuat dasar dari 36 negara untuk menangani isu kritikal dalam sains aerosol.

Bermula dari 3 hingga 7 Nov, acara ini dianjurkan oleh Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) dan Perhimpunan Penyelidikan Aerosol Asia (AARA).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan