WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KDN BERI PENJELASAN LANJUT RUU TAHANAN DI RUMAH DI DEWAN RAKYAT KHAMIS INI

05/11/2024 06:42 PM

KAJANG, 5 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan penjelasan lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah di Dewan Rakyat pada Khamis ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan memberikan perincian mengenai RUU itu semasa sesi penggulungan di peringkat dasar kementerian berkenaan pada hari itu.

"Pada Khamis saya akan jelaskan secara terperinci apakah rasional program itu, apakah prosesnya, apakah parameternya dan berapa ramai yang patut dipertimbangkan untuk menyertai program berkenaan.

"Semua itu saya percaya akan memberi penjelasan yang mampu menjernihkan beberapa pandangan yang saya lihat hanya tertumpu kepada seorang sahaja setelah tajuk tahanan di rumah dimasukkan dalam teks Belanjawan 2025 (dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lepas)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Menteri Dalam Negeri bertajuk 'Mengurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Melalui Pengambilan Prospek Yang Menjalani Pemulihan Dalam Komuniti' di Ibu Pejabat Jabatan Penjara di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata walaupun beliau ada menyatakan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu akan dipertimbangkan untuk program berkenaan, ia tidak bermakna mereka semua akan diberikan tahanan rumah serentak.

"Ada beberapa lagi kriteria perlu dipenuhi seperti tidak pernah melanggar disiplin sepanjang mereka menjalani hukuman dan pelbagai perkara lagi, untuk itu Jabatan Penjara dan kementerian saya sudah siap dengan semua datanya," katanya.

Beliau berkata KDN secara dasarnya telah mendapat 'lampu hijau' daripada Kabinet bagi melaksanakan hukuman tahanan di rumah dan akan melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan terlibat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Beliau berkata menerusi akta itu pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian antaranya seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan