WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BOMBA KESAN KEBOCORAN GAS AMMONIA DI KILANG PEMBUATAN KULIT POPIA

06/11/2024 04:33 PM

PONTIAN, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan kebocoran gas ammonia di sebuah kilang pembuatan kulit pastri (kulit popia), Pertama Spring Rolls Manufacturer (M) Sdn Bhd di sini selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.03 petang semalam. 

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hasnan Abd Rahman berkata sebanyak 19 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu utiliti serta jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian. 

Beliau berkata insiden terbabit dipercayai berlaku disebabkan kebocoran paip gas ammonia yang dianggarkan melepaskan sebanyak 50 liter gas berkenaan. 

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kerja-kerja pemindahan baki 100 liter gas ammonia daripada tangki yang bocor sedang dijalankan secara manual (secondary line).

“Keselamatan di kawasan itu dijamin selepas PKO bertindak pantas memindahkan gas ke tangki bersebelahan dan pengosongan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Hasnan berkata pengungsian pekerja sejumlah 107 orang dibuat dan kesemua mereka diarahkan pulang setelah dua jam pemantauan dilakukan.

Beliau berkata Hazmat dari BBP Larkin kemudian tiba di lokasi kejadian dan segera menjalankan pemeriksaan kebocoran pada aras bawah dan aras satu bangunan menggunakan alat pengesan GFG dan Gasmed pada 8 malam. 

“Bagaimanapun, bacaan kepekatan gas ammonia menunjukkan 0.45 PPM, berada pada tahap terkawal dan selamat. 

“Susulan itu, pihak kilang bersama kontraktor yang dilantik kini bertanggungjawab untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan proses nyah cemar di kawasan terjejas, dan insiden ini berjaya dikawal sepenuhnya tanpa melibatkan mangsa,” katanya.  

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan