WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GISBH: JAKIM BERTINDAK IKUT RUANG LINGKUP FUNGSI DAN PERANAN

07/11/2024 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak mengikut ruang lingkup fungsi dan peranan sedia ada serta tidak melakukan tugas yang melangkaui fungsi pihak berkuasa lain dalam menjalankan siasatan terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM sentiasa menjalankan kerjasama, khidmat nasihat dan perundingan dengan pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar.

“Dalam melaksanakan kajian yang komprehensif dan lengkap, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Proses mengumpul bahan bukti dan sumber yang diyakini serta boleh disahkan dari sudut perundangan perlu melalui penelitian yang tinggi.

“Lebih-lebih lagi bagi menangani sesuatu amalan atau ajaran yang berselindung di sebalik aktiviti lain yang kelihatan benar dan sah di sisi undang-undang.

“Proses ini tentunya tidak sukar sekiranya sesuatu ajaran atau amalan itu jelas dan terang-terangan bercanggah dangan syariat Islam dan amalan tersebut dapat dibuktikan dengan jelas dan kukuh,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu mengapa kerajaan terlalu lambat mengambil tindakan kepada GISB yang telah digerakkan selepas pengharaman Al-Arqam 1994.

Mengenai jumlah mereka yang terlibat dan rancangan untuk pengurusan, Mohd Na’im berkata sehingga kini dianggarkan terdapat 10,500 ahli GISBH dan 9,000 daripadanya dipercayai berada dalam negara.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan pelan tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH meliputi kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penjagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan agensi lain.

“Selain daripada itu, pelan tindakan pemulihan secara sukarela kepada ahli GISBH yang hadir untuk mengikuti sesi pemulihan secara sukarela juga dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN/JAIN) dan lain-lain agensi berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan