WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM PEMBANGUNAN PREMIS DIGITAL MAIWP PERKASA 100 USAHAWAN ASNAF

07/11/2024 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Seramai 100 orang usahawan terdiri daripada asnaf di Wilayah Persekutuan telah terpilih menyertai program Pembangunan Premis Digital yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama MYNIC Berhad, agensi di bawah Kementerian Digital.

Inisiatif berkenaan adalah salah satu usaha MAIWP melahirkan usahawan asnaf yang cakna dengan perkembangan teknologi digital dan berupaya mengaplikasikan teknik pemasaran digital dalam pengembangan perniagaan.

Majlis perasmian penutup program itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di sini hari ini.

Mohd Na’im di dalam ucapannya berkata inisiatif digitalisasi usahawan asnaf MAIWP itu melibatkan perbelanjaan dana zakat berjumlah RM472,800.

Beliau berkata selain latihan, usahawan asnaf yang terlibat turut dipantau dan dibimbing secara berterusan serta diberikan latihan-latihan keusahawanan yang lain.

“Seperti mana kita tahu, dunia kini bergerak pantas dengan perkembangan teknologi dan inovasi. Oleh itu, salah satu inisiatif MAIWP adalah untuk memastikan bahawa para usahawan MAIWP dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada, termasuklah premis digital yang telah dibangunkan.

“Ini bukan sahaja akan meningkatkan keberkesanan operasi perniagaan, tetapi juga membantu usahawan kita menyebarluaskan perniagaan mereka di dalam dan luar negara,” katanya.

Sementara itu MAIWP dalam satu kenyataan memaklumkan usahawan asnaf yang terpilih menyertai program berkenaan diberikan pendedahan melibatkan penjenamaan digital, penggunaan ekosistem e-dagang yang efektif serta pengaplikasian teknik pemasaran digital terkini.

“Dalam program hari ini juga, seramai 10 orang usahawan asnaf terbaik yang berjaya membangunkan tapak web perniagaan mereka telah diberikan hadiah sagu hati,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan