WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA KOMITED UNTUK KUKUHKAN KERJASAMA DENGAN CHINA MELANGKAUI BIDANG PERDAGANGAN - PM ANWAR

07/11/2024 08:14 PM

Daripada Massita Ahmad

BEIJING, 7 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dengan China, menumpukan bukan sahaja perdagangan tetapi juga matlamat sejagat yang lebih luas.

Dalam kunjungan hormatnya ke atas Presiden Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat di sini, Anwar menyampaikan penghargaan atas sokongan berterusan China dan menekankan kepentingan nilai serta wawasan bersama antara kedua-dua negara.

“Saya mengikuti perkembangan anda dengan rapat, Tuan Presiden, terutamanya ucapan hebat anda di sidang kemuncak BRICS. Sokongan anda terhadap perkongsian kami dengan BRICS sangat bermakna. Lebih penting lagi, wawasan anda mengenai keselamatan dan pembangunan global sangat memberi kesan mendalam kepada  kami,” kata Anwar, merujuk kepada Presiden China.

Beliau turut menyatakan bahawa penekanan China terhadap “nilai dan peradaban” membezakannya daripada banyak pemimpin dunia lain, menonjolkan keprihatinan China bukan hanya kepada rakyatnya tetapi juga kepada kebajikan manusia sejagat.

"Inilah sebabnya kami melihat China bukan hanya sebagai pemimpin Timur, tetapi sebagai suara untuk Global Selatan, yang memperjuangkan kepentingan dunia membangun."

Perdana Menteri turut menekankan hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan China, memberi tumpuan kepada bidang seperti perdagangan, pelaburan, teknologi digital, tenaga dan latihan.

Beliau berkata Malaysia amat menghargai kesediaan China untuk menerima negara ini sebagai rakan kongsi dalam sektor-sektor utama itu.

“Saya berucap di Universiti Peking awal hari ini mengenai pandangan saya terhadap wawasan China untuk masa depan yang dikongsi bersama, sesuatu yang masih belum dihayati oleh banyak negara maju,” katanya.

Beliau berkata:“Wawasan anda tentang komuniti global di mana kejayaan China difahami dan dikongsi bersama masyarakat antarabangsa adalah contoh kepimpinan yang amat berkesan.”

Melihat ke hadapan, Anwar turut membincangkan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang akan datang serta hubungan serantau yang semakin erat dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Perdana Menteri menekankan pencapaian penting dalam usaha diplomatik ASEAN - kerjasama ASEAN-GCC-China, yang beliau percaya akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan perdagangan dan kerjasama global.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Anwar memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus bertindak mengikut kepentingan nasionalnya, dengan menyebut proses membuat keputusan negara yang bebas mengenai isu seperti teknologi 5G.

“Kami telah memutuskan bahawa teknologi 5G China akan menjadi sebahagian penting dalam infrastruktur digital Malaysia, satu keputusan yang dibuat untuk manfaat negara,” katanya.

Perdana Menteri mengakhiri ucapannya dengan melahirkan keyakinan terhadap kejayaan inisiatif masa depan ASEAN, dengan penglibatan China sebagai elemen penting untuk menjamin kemakmuran rantau ini.

“Kami mengharapkan sokongan berterusan anda, Tuan Presiden, kerana kehadiran anda penting untuk kejayaan ASEAN,” katanya.

Kenyataan ini mencerminkan kedudukan strategik Malaysia yang semakin meningkat di pentas global, menjadikannya pemain utama dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.

Anwar tiba di Beijing pada Rabu, persinggahan terakhir lawatan kerja beliau ke China dari 4 hingga 7 Nov. Beliau tiba di Shanghai pada Isnin untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China Ketujuh (7th CIIE).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan